KUALA LUMPUR: Polis akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi membendung penyebaran fahaman ekstremisme di negara ini bagi mengelak berulangnya insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, di Johor.


Ringkasan AI
  • Polis akan mengambil tindakan tegas untuk mencegah penyebaran fahaman ekstremisme bagi mengelakkan insiden seperti serangan Balai Polis Ulu Tiram berulang.
  • Pintu pagar balai polis akan ditutup selepas 10 malam untuk meningkatkan keselamatan.
  • Dengan pengalaman 216 tahun, polis akan membangunkan profil lengkap untuk mengurangkan elemen ekstremisme dalam negara.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata fahaman ekstremisme perlu dibendung dan perbuatan 'mengkafirkan' golongan lain sangat membahayakan bagi masyarakat dalam negara.

"Insiden ini (serangan Balai Polis Ulu Tiram) sudah tentu jika ditanya sama ada polis mempunyai keupayaan untuk mengurus...tentunya. Polis 216 tahun umurnya, mempunyai pengalaman yang luas.

"Jadi berdasarkan kepada insiden seperti ini, maka polis kita bangunkan profil lengkap bagaimana kita nak mengurangkan elemen-elemen seperti ini supaya ia tidak berkembang subur," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang mahu tahu usaha kerajaan menangkis ancaman bentuk baharu keganasan yang wujud dalam kalangan kumpulan pengganas di Malaysia.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata antara langkah keselamatan diambil ekoran insiden di Balai Polis Ulu Tiram, termasuk mengarahkan supaya pintu pagar balai polis ditutup selepas 10 malam.

"Kita perlu imbangi (langkah-langkah keselamatan) kerana balai polis adalah tempat rakyat mengadu tetapi pada masa sama, balai polis juga menjadi sasaran, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu.

"Insiden di Ulu Tiram, saat itu ada dua orang yang berurusan dengan anggota polis (di dalam balai) dan ketika itu serangan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang bertanyakan langkah-langkah memperketatkan keselamatan di balai polis di Malaysia, ekoran insiden 17 Mei lepas itu yang menyaksikan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

-- BERNAMA