Ringkasan AI
- Ahli keluarga Konstabel Muhamad Syafiq yang meninggal dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, tidak mampu untuk membuka bungkusan barang peninggalan arwah, termasuk uniform terakhirnya.
- Mereka meminta pakaian seragam terakhir Muhamad Syafiq ditanam di tempat dia berkhidmat sebagai tanda kenangan, sementara barang peribadi lain seperti kasut, tali pinggang, dan jam disedekahkan kepada kawan-kawan di balai polis.
- Meskipun menerima barangan peribadi Muhamad Syafiq, keluarganya masih terkesan dengan pemergian beliau, dan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak semeriah sebelumnya. Mereka masih sukar melupakan tragedi tersebut.
Kakak sulung kepada Muhamad Syafiq, Nurul Syuhada Ahmad Said, 31, berkata, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melihat semua barang peninggalan termasuk uniform terakhir yang dipakai arwah sewaktu kejadian pada 17 Mei lalu.
Menurutnya, disebabkan itu, mereka meminta agar pakaian seragam terakhirnya, ditanam di tempat arwah berkhidmat sebagai tanda kenangan.
"Mak (dan) abah masih dalam keadaan bersedih, (kami) terkejut dengan apa yang terjadi. Hendak terima baju (terakhir) arwah lagi tidak sanggup.
"Jadi, baju dan seluar arwah kami minta mereka tanam, barang lain macam kasut, tali pinggang dan jam pula disedekahkan kepada kawan-kawan arwah di sana (Balai Polis Ulu Tiram)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Nurul Syuhada yang menetap di Batu Pahat, Johor memberitahu ibu, Aini Mohd Shariff, 57, dan ayah, Ahmad Said Md Piah, 65, masih terkesan dengan kejadian berlaku, meskipun sudah reda dengan ketentuan Allah.
"Tapi, bila teringatkan arwah Muhamad Syafiq, mereka menangis," luahnya.
Bercerita lanjut, Nurul Syuhada berkata, mereka sekeluarga turut menerima barangan peribadi dan kelengkapan rumah milik arwah Muhamad Syafiq yang dihantar ke rumah keluarga di Taman Seri Mahkota Jaya, pada Khamis.
"Kotak-kotak terbabit belum dibuka dan mereka (ayah serta ibu) tunggu kami adik-beradik berkumpul serta melihat sama-sama barang peribadi arwah," katanya.
Dalam pada itu, Nurul Syuhada berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak semeriah sebelum ini kerana arwah meninggalkan ahli keluarga secara mengejut.
Pemergian arwah, katanya, memberi kesan yang mendalam buat mereka dan sehingga kini sukar melupakan tragedi berkenaan. - Sinar Harian