PUTRAJAYA: Seramai 159,027 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ditawarkan ke tempat bagi melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan daripada jumlah tersebut, seramai 83,667 calon ditawarkan di Universiti Awam (UA), 43,531 calon ditawarkan di Politeknik, 26,474 Kolej Komuniti dan 5,355 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

KPT dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan tahun ini sebanyak 214,173 permohonan layak telah diterima bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline(R).

Menurut KPT, Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 16,593 dengan pecahan tawaran iaitu 15,082 bagi kategori B40, 425 Orang Kurang Upaya (OKU), 732 atlet dan 354 Orang Asli.

"Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran. Secara keseluruhannya, sebanyak 504 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 104 Sijil, 53 Asasi, 346 Diploma dan satu 1 Ijazah Sarjana Muda," menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

KPT memaklumkan saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline(R) dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini 28 hingga 7Julai ini pukul 5 petang bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian.

"Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya," menurutnya.

-- BERNAMA