Seorang pelajar perempuan sekolah menengah patah tulang bahu, manakala tiga lagi cedera ringan apabila bas sekolah yang dinaiki mereka terbalik selepas mengelak lori dari arah bertentangan di Jalan Seelong, Senai, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai DSP Mohd Idris Samsuri berkata dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, bas yang membawa 23 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Senai itu, dikatakan mengelak lori dari arah bertentangan yang cuba memotong sebuah motosikal.

"Bas itu kemudian terbabas dan tergelincir di kiri bahu jalan sebelum memasuki longkang kecil di hadapan pagar sebuah kilang berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akibat kejadian itu, kata Mohd Idris, empat orang cedera iaitu dua pelajar lelaki dan dua perempuan termasuk seorang yang patah tulang bahu.

Menurutnya semua pelajar dalam bas itu berusia antara 15 dan 17 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata tiga daripada empat pelajar itu masih ditahan di Wad Kecemasan Hospital Kulai untuk rawatan lanjut.

Menurutnya pemandu bas bagaimanapun tidak cedera manakala pemandu lori terbabit masih dicari untuk membantu siasatan.

Mohd Idris berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.