KUALA LUMPUR: Seorang penunggang melecur selepas motosikalnya terbakar dalam kemalangan membabitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Kilometer (KM) 26.5 Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) arah ibu negara, berhampiran Kampung Sungai Chinchin dekat sini, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata satu jentera bersama enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 12.41 tengah hari.

Menurutnya, jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.15 tengah hari.



"Setibanya di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal jenis Honda terbakar 100 peratus.

"Kemalangan itu melibatkan lima buah motosikal yang ditunggangi lima mangsa dengan salah seorang daripada mereka melecur akibat kebakaran," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Menurut Norazam, kesemua mereka dibawa ke hospital berhampiran sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Susulan kemalangan itu, Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak menghala ke ibu negara mengalami kesesakan teruk lebih 10 kilometer.