PUTRAJAYA: Usaha mencegah kemalangan jalan raya bukan hanya melibatkan peranan Kementerian Pengangkutan semata-mata, sebaliknya ia harus membabitkan kerjasama antara pelbagai agensi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sesuatu yang membimbangkan apabila jumlah kematian akibat nahas jalan raya melebihi jumlah kematian akibat Covid-19.

"Atas sebab itu, lebih banyak usaha perlu dibuat untuk meningkatkan kesedaran awam sebagai langkah pencegahan terutama apabila melihat statistik kemalangan jalan raya berkenaan.

"Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini terutama melibatkan penunggang motosikal walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara tertinggi di dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (Kereta) 2024 di Putrajaya pada Isnin.

Sehubungan itu,  beliau berkata kerajaan memperkenalkan dasar bahawa semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki sistem brek anti-kunci (ABS) bermula 1 Januari tahun depan.

Beliau turut berkongsikan statistik bahawa lebih daripada 6,000 kematian akibat nahas membabitkan golongan berkenaan setiap tahun dengan membuat perumpamaan kuburan mereka hampir sama dengan keluasan enam padang bola.

Rentetan itu, Ahmad Zahid berharap insiatif diambil kerajaan dapat mengurangkan kadar nahas jalan raya terutama membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal memandangkan mereka menjadi penyumbang besar iaitu 65 peratus daripada jumlah kematian nahas tahun lalu.

Dalam masa sama beliau turut memuji langkah proaktif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan menggalakkan pekerja yang menggunakan motosikal untuk mencarum.

Beliau menjelaskan, sumbangan di bawah Perkeso itu penting dalam memastikan kebajikan penunggang terjamin sekiranya terlibat kes kemalangan jalan raya.