KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandu terbabit dalam kemalangan di Jalan Syed Putra - Jalan Sultan Mohamed di sini hari ini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Che Mohd Solehuddin Che Jusoh berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan jalan raya itu pada jam 5.32 pagi.

"Sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Rumah dan Pudu dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Che Mohd Solehuddin berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati sebuah kereta Honda City terbalik.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.

"Pemandu kereta itu telah berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan patah tangan. Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut," ujarnya. - Sinar Harian