KUALA LUMPUR: Meskipun Bahasa Melayu adalah bahasa pertama yang perlu didahulukan dalam sebarang wadah komunikasi di negara ini, namun hakikatnya masih berlaku penggunaan bahasa campuran atau "bahasa rojak".
Malah, kepincangan ini turut melibatkan program rasmi yang dianjurkan oleh pihak kerajaan, sebagai contoh, penggunaan perkataan Food Bank walhal nama program tersebut boleh sahaja digunakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu iaitu Bank Makanan.
Untuk mengupas lebih lanjut isu ini, Bernama mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berhubung penggunaan bahasa sedemikian (bahasa campuran) serta mengulas betapa pentingnya memartabatkan bahasa kebangsaan ini.
Menurut Abang Sallehuddin, secara umumnya, berdasarkan pemantauan dari semasa ke semasa DBP, nama program di majlis rasmi kerajaan masih menggunakan bahasa kebangsaan.
Beliau memberikan contoh, program pakej bantuan PERMAI, PENJANA, PRIHATIN, PEMERKASA, dan PEMULIH.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, banyak istilah yang digubal oleh DBP, yang semakin meluas penggunaannya, sebagai contoh, istilah bidang kesihatan awam seperti pelitup muka, sekatan pergerakan, kawalan kendiri, lesu upaya dan lain-lain.
"Namun demikian, tidak dinafikan, masih terdapat nama program dan majlis rasmi yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan. Hal ini sangat mendukacitakan dan tidak sewajarnya berlaku.
"Nama program dan majlis rasmi di dalam negara tidak sesuai menggunakan bahasa asing sepenuhnya atau bahasa bercampur," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Abang Sallehuddin menjelaskan, bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu dan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
"Maksud rasmi adalah maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, ataupun pihak berkuasa awam.
"Perkara ini sudah jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan, serta ditegaskan dalam beberapa pekeliling perkhidmatan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Maksud rasmi ini termasuklah nama program dan majlis rasmi kerajaan," tambahnya.
Justeru beliau berkata, sebagai wadah penyampai bagi setiap dasar kerajaan, setiap kementerian dan agensi perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dengan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor perkhidmatan awam dilaksanakan secara menyeluruh serta digunakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.
Menurut beliau, sebarang penggunaan bahasa campuran sudah tentunya tidak memancarkan identiti negara Malaysia.
"Bahasa kebangsaan ialah lambang yang mewakili negara. Sama halnya dengan lambang negara yang lain, seperti bendera, lagu, bunga dan lain-lain. Kerajaan juga akan dilihat tidak serius dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan pastinya akan menyukarkan pengembangan bahasa dalam sektor lain, terutama swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat awam.
"Semangat cintakan bahasa kebangsaan akan menjadi semakin lemah. Selain itu, bahasa Melayu akan dilihat seolah-olah tidak mampu menjadi bahasa kebangsaan negara kerana tidak cukup perkataan dan istilah yang sesuai dengan keadaan semasa. Jika dibiarkan berterusan, bahasa kebangsaan akan semakin hilang peranannya sebagai bahasa komunikasi moden," tegasnya.
KUASA UNTUK DBP BERTINDAK
Menurut Abang Sallehuddin, menerusi Pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, ia dapat memberi kuasa kepada DBP berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu, sekiranya terdapat banyak pelanggaran bahasa.
Bagaimanapun menurut Abang Sallehuddin, pada masa ini kerajaan belum bercadang meminda Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
"Mungkin Akta yang ada masih sesuai dengan keadaan semasa, walaupun sudah ada cadangan mengenainya daripada beberapa pihak.
"Bagaimanapun, DBP ada mencadangkan pindaan Akta DBP [Akta 213]. Kali terakhir Akta ini dipinda pada tahun 1995, iaitu lebih 26 tahun lalu. Akta ini merupakan sumber kuasa dan tadbir urus DBP. Pada masa ini, DBP dan panel peguam DBP sedang giat menyediakan draf pindaan akta ini, khususnya mengenai undang-undang kecil penguatkuasaan bahasa," katanya.
Beliau menjelaskan, sekiranya Akta DBP tersebut dipinda, kuasa utama yang akan diperolehi DBP ialah untuk 'menggalakkan' penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan secara meluas.
"Ketika ini DBP tiada kuasa penguatkuasaan bahasa. Sekiranya pindaan Akta DBP diluluskan, DBP akan mempunyai kuasa penguatkuasaan untuk mengambil tindakan termasuk penggunaan bahasa bercampur dalam program dan majlis rasmi kerajaan.
"Di samping itu, DBP juga akan mempunyai kuasa untuk memberikan pengiktirafan atau perakuan bahasa Melayu berdasarkan kerangka standard bahasa Melayu. Peranan ini samalah seperti Council of Europe yang mengawal selia standard bahasa Inggeris melalui Common European Framework of Reference (CEFR)," katanya.
BAHASA MELAYU PUNYA KEDUDUKAN TERTINGGI
Rakyat Malaysia perlu mempertahankan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan dalam Penyata Razak juga menyebut bahawa bahasa Melayu adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara serta perlunya kita mempertahankan bahasa rasmi.
Abang Sallehuddin berkata kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, khususnya di institusi pendidikan kerajaan dan institusi pendidikan tinggi swasta telah dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.
"Perkara ini diperuntukkan dalam Akta Pendidikan, 1996 [Akta 550] dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, 1996 [Akta 555]. Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama. Jika menggunakan bahasa lain, maka bahasa Melayu hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.
"Tanggapan penggunaan bahasa kebangsaan menyebabkan seseorang tidak terdidik atau kurang keterampilan adalah tidak benar. Sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa kebangsaan sejak sekian lama telah terbukti melahirkan ribuan cendekiawan, teknokrat dan pemimpin negara," jelasnya.
Beliau menambah, bahasa Melayu perlu terus dipertahankan sebagai bahasa ilmu kerana bahan ilmu dalam bahasa Melayu berupaya mengisi keperluan negara, khususnya dalam menghasilkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran serta mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.
"Ini bukan tugas dan tanggungjawab kerajaan atau DBP sahaja, tetapi semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan. Negara kita perlu maju dengan acuan kita sendiri. Tiada bahasa lain yang dapat membentuk ketamadunan sesuatu bangsa itu melainkan bahasa bangsa itu sendiri. Percayalah, kita pasti akan berbangga berdiri di pentas antarabangsa dengan membawa citra bahasa dan budaya kita sendiri,"
"Bahasa merupakan lambang jati diri dan entiti kebangsaan. Yang penting, bahasa juga melambangkan keyakinan diri dan minda tidak terjajah. Mahir dalam bahasa lain merupakan kelebihan yang patut dikejar, tetapi meminggirkan bahasa kebangsaan merupakan langkah ke belakang yang akan memberi kesan negatif pada masa akan datang," katanya.
Bahasa Melayu, tegas beliau, merupakan wadah yang sangat penting untuk mengilmukan bangsa kerana pemikiran dan budaya bangsa dilatari oleh bahasa kita itu.
"Mereka lebih faham dan terdedah dengan persekitaran berbahasa kebangsaan. Bahasa asing sebagai alat bantu dan itulah yang diamalkan di negara maju seperti Jepun, Korea dan China. Tidak ada negara maju yang meminggirkan bahasa sendiri untuk maju kerana mereka sedar langkah itu merupakan langkah yang salah.
"Malu dengan apa yang ada pada diri sendiri adalah minda yang terpesong. Jangan sentiasa dipukau oleh rasa rendah diri dengan sentiasa melihat halaman rumah orang lain sentiasa lebih hijau dan menarik daripada halaman sendiri." katanya.
SETIAP HARI ADALAH HARI BAHASA
Sementara itu Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penguatkuasaan terhadap bahasa kebangsaan perlu diteruskan dan tidak perlu menunggu tibanya bulan bahasa kebangsaan.
"Penguatkuasaan terhadap bahasa Melayu ini kenalah berterusaan dan tidak boleh menunggu bulan bahasa kebangsaan, baru kita hendak disebut tentang pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagainya. Sebenarnya setiap hari adalah hari bahasa kerana setiap hari kita berkomunikasi," katanya.
Berhubung penggunaan bahasa campuran dalam sebarang majlis atau program rasmi kerajaan, Awang Azman menyifatkan keadaan itu berlaku akibat sikap tidak kreatif dan inovatif pihak terbabit dalam memperkaya dan memperkasakan bahasa.
"Kita tidak boleh kata akta DBP perlu dipinda untuk memperkasa dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaaan di majlis rasmi dan sebagainya. Kita pinda 1,000 akta sekalipun tidak akan berkesan jika tidak ada kesedaran, keinsafan dan jiwa untuk menjiwai bahasa kebangsaan.
"Dari penggunaan istilah, sebenarnya bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik . Bahasa yang wujud pada hari ini tanpa kita sedar, juga menerima pengaruh bahasa luar, ada bahasa Sanskrit, Tamil dan Belanda," katanya yang memberikan contoh perkataan merdeka yang berasal dari bahasa Sanskrit, yang bermakna kekayaan dan keagungan.
Beliau berkata, bahasa yang berkembang baik adalah bahasa yang boleh memanfaatkan situasi semasa pada masa sama mengekalkan kewibawaan atau "authority" bahasa itu sendiri.
Dari segi kesan bahasa campuran kepada masyarakat, Awang Azman berkata ia memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat termasuk kanak-kanak sekolah rendah, sekolah menengah serta penuntut universiti berikutan penggunaan bahasa campuran itu yang mencerminkan kecelaruan pemikiran, kecelaruan sikap penganjur itu sendiri atau pihak berkuasa.
"Apabila ia dilakukan secara rasmi, ia memberikan pengaruh yang buruk kepada anak muda sebab bagi mereka bila mereka melihat penganjuran secara rasmi bahasanya bercampur,aduk, bahasa rojak jadi mereka melihat pihak penganjur dari agensi kerajaan bersikap sedemikian,
"Maka anak muda terpengaruh, terikut-ikut seolah-olah memberikan teladan kepada mereka dan ini lah yang menjadi punca penggunaan bahasa di Twitter, Facebook, Whatsapp, bercampur aduk sebab mereka anggap perkara ini betul, dibenarkan dan tidak bertentangan dengan dasar kerajaan sebab yang buat program sebegitu itu adalah dari pihak kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Jul 15 2021
Banyak istilah yang digubal DBP, yang semakin meluas penggunaannya, sebagai contoh, istilah bidang kesihatan awam seperti pelitup muka, sekatan pergerakan, kawalan kendiri, lesu upaya dan lain-lain. - Gambar hiasan
Hampir seminggu hanyut, dua mangsa selamat kembali
Laporan bedah siasat dan dna guru sekolah, Istiqomah Ahmad Rozi sudah disiapkan dan diserah kepada pihak pendakwaan.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Alor Gajah menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Alor Gajah menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.
Institusi perubatan awam makin parah - Gerakan
Parti Gerakan menyifatkan institusi perubatan awam dalam negara menghadapi gelombang besar dan parah.
Hospital kerajaan terbeban jika M40 batal polisi insurans - Sim Tze Tzin
Hospital kerajaan akan menjadi terlalu padat akibat pertambahan pesakit daripada golongan M40 yang tidak lagi mampu membayar polisi insurans.
Gangguan seksual di UA perlu bukti, fakta diperoleh melalui kaedah tepat
Sebarang dakwaan berhubung gangguan seksual hendaklah berasaskan kepada bukti dan fakta yang diperoleh melalui kaedah tepat dan boleh dipercayai.
Perlis harap tempoh operasi pintu sempadan Padang Besar, Wang Kelian dilanjutkan
Kerajaan Negeri Perlis berharap operasi ICQS Padang Besar dilanjutkan kepada 12 tengah malam manakala di ICQS Wang Kelian pula beroperasi hingga 9 malam.
AWANI Ringkas: Hannah diarah bayar kos mahkamah RM40,000
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Pesawat terhempas di Brazil, ahli perniagaan dan 9 ahli keluarga maut
Kesemua 10 orang di dalam sebuah pesawat kecil terbunuh apabila pesawat itu terhempas di bandar Gramado, selatan Brazil.
Prospek Pelaburan 2025: Lebih Cabaran & Peluang
Memasuki tahun 2025 tidak lama lagi, ekonomi global dilihat berada di persimpangan, dengan ketegangan geopolitik, cabaran struktur di China dan dasar perdagangan AS, menambah ketidaktentuan pasaran. Ulasan bersama Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan.
Sorotan 2024: Melonjak ekonomi, melimpah kemakmuran
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai perencanaan strategik untuk melonjakkan ekonomi negara sepanjang 2024 bagi melimpahkan kemakmuran yang berpanjangan kepada rakyat dan negara.
Pasaran MSM dijangka alami sentimen tidak menentu minggu ini
Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami pergerakan harga tidak menentu minggu ini berikutan minggu dagangan yang singkat.
DBP lantik pempengaruh sebagai ikon bantu beri asas penggunaan bahasa
Antaranya, Dr Malar Santhi Santherasegapan, yang merupakan seorang doktor dan juga aktivis yang kini bertugas di Hospital Columbia Asia.
DBP nafi dakwaan berkaitan buku dibakar
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menafikan kenyataan bertajuk 'Iban's literature and book were burned by Dewan Bahasa dan Pustaka' menerusi hantaran dalam Facebook Sarawak Public Feedback.
Peruntukan RM50 juta mampu dukung matlamat DBP segarkan bahasa dan kesusasteraan
DBP berharap aktiviti bahasa dan kesusasteraan akan sentiasa segar serta menjadi wahana penting dalam mendidik masyarakat MADANI.
DBP pertingkat program bahasa Melayu di universiti luar negara
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan meningkatkan program bahasa Melayu di beberapa universiti luar negara termasuk China, Thailand dan Jepun dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.
[KOLUMNIS] Isu bahasa: Kritikan perlu berasas
Kritikan terhadap ucapan Anwar dalam Majlis Perasmian Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 ini sebenarnya adalah tidak perlu.
DBP perlu diberi kuasa perundangan martabatkan bahasa Melayu
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa perundangan bagi mempertahankan identiti dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Firdaus Abdullah aktif dalam memperjuangkan bahasa - Awang Sariyan
Aktif dalam gerakan persatuan mengangkat dan memperjuangkan bahasa, merupakan bukti kesungguhan Allahyarham Datuk Firdaus Abdullah yang begitu mencintai nilai dan keindahan kesusasteraan dan budaya.
Ruang berfikir, berkarya di negara ini perlu kebebasan lebih luas - PM Anwar
Ia kerana Malaysia merupakan sebuah negara merdeka dan bukannya dijajah sehingga ada sekatan atau rasa terkongkong untuk mana-mana pihak menghasilkan karya mereka.
[KOLUMNIS] Tendangan lencong? Gelecek luncur? Jom cakna istilah sukan bola sepak dalam Bahasa Melayu
Perlawanan bola sepak yang bertaraf antarabangsa seperti Piala Asia yang diikuti di seluruh dunia sepatutnya direbut dan dimanfaatkan oleh Malaysia untuk mengulasnya dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Kekangan bahasa masih jadi isu harian di agensi kerajaan
Pemerhatian di beberapa agensi kerajaan mendapati masalah penguasaan bahasa Melayu adalah isu sah yang bukan digembar-gemburkan.