DALAM satu laporan sebuah portal bertajuk “Bekas MP DAP sekolahkan Anwar cara perkasakan bahasa Melayu” beberapa hari lalu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, dilaporkan mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana membentangkan naratif negatif dan bukannya naratif positif berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu (BM).

Ong berkata, mereka yang menggunakan bahasa Inggeris (BI) dalam pelbagai kehidupan harian mereka mungkin berbuat demikian atas sebab-sebab lain dan bukan kerana mereka memperkecilkan penggunaan BM atau bahawa mereka memperlekehkan penggunaan BM dalam tetapan rasmi.

Menurut Ong, Anwar seharusnya memberikan naratif positif tentang penggunaan BM, bukan menekankan perkara yang negatif kerana ini akan menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan BM kerana ia adalah untuk manfaat mereka, bukannya kerana paksaan.

Walau bagaimanapun, kritikan Ong terhadap ucapan Anwar dalam Majlis Perasmian Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 ini sebenarnya adalah tidak perlu kerana ia tidak berasas.

Sebagai seorang terpelajar yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD), Ong tidak boleh memberi komentar berdasarkan liputan media semata-mata sebaliknya perlu mendengar keseluruhan ucapan dan memahami konteks penuh yang disampaikan oleh Anwar.

Dalam ucapan tersebut, Anwar menegaskan betapa pentingnya penguasaan pelbagai bahasa utama dunia termasuk BI, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Arab tanpa mengenepikan kedudukan utama BM sebagai bahasa kebangsaan.

Jelas dalam ucapan Anwar penegasan mengenai kepentingan BI, antaranya ialah:

(1) “Saya antara yang menekankan keperluan penguasaan BI dalam dunia yang mencabar”.
(2) “Tidak ada negara yang kian meningkat maju yang akan menyisihkan mana-mana bahasa utama di dunia”.
(3) “Tidak ada sesiapa dan saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan penekanan atau meremehkan kepentingan BI”


Ong sebaliknya hanya menumpukan kepada satu bahagian dalam ucapan Anwar, di mana beliau menyebut tentang "sikap sebahagian elit" yang terlalu taksub dengan BI sehingga meminggirkan BM.

Apa yang ditegur oleh Anwar hanyalah sikap sebahagian elit yang mempunyai satu fobia terhadap BM, terlalu mengagungkan BI serta terlalu ghairah dan obsesi terhadap penguasaan BI seolah-olah hidup kita, kejayaan kita dan kepintaran kita hanya kerana penguasaan BI.

Ini bukanlah satu serangan terhadap semua pengguna BI seperti yang disangka oleh Ong, tetapi lebih kepada satu peringatan bahawa kita tidak seharusnya melupakan BM sebagai bahasa kebangsaan, walaupun kita ingin menguasai BI dan bahasa-bahasa lain.

Inilah yang disebutkan oleh Anwar: “Mereka mungkin dibesarkan di London, tapi saya nak ingatkan mereka, hidup mereka di Malaysia dan mereka bertanggungjawab bukan di kalangan kelompok elit kecil, tapi mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya.”

Anwar menekankan bahawa memartabatkan BM tidak bermaksud mengetepikan BI, sebaliknya kedua-dua bahasa ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Penguasaan BI adalah perlu dalam konteks ekonomi dan komunikasi antarabangsa, manakala BM pula adalah tunjang identiti nasional dan perpaduan.

Justeru Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP) telah kerajaan tubuhkan sejak 1956, bagi membina dan mengembangkan BM sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa pemersatuan kaum negara ini.

Ini adalah satu kenyataan yang relevan dan tepat, terutama dalam konteks Malaysia yang pelbagai budaya dan bahasa. Anwar ingin mengingatkan bahawa penguasaan BM adalah penting untuk memastikan perpaduan nasional, sementara penguasaan BI adalah penting untuk mencapai kejayaan dalam ekonomi dan bidang lain.

Sikap yang ditekankan oleh Anwar adalah untuk mencapai keseimbangan. Untuk maju, Malaysia tidak boleh menyisihkan mana-mana bahasa, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh lupa bahawa BM adalah bahasa kebangsaan dan kedudukannya dalam perlembagaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikai.

Bagi Anwar, cabaran utama yang perlu dihadapi adalah memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum atau status sosial, dapat bersatu di bawah satu bahasa kebangsaan, iaitu BM, sambil tidak mengetepikan keperluan penguasaan bahasa lain.

Apa yang mungkin tidak difahami oleh Ong adalah bahawa Anwar tidak menafikan keperluan penguasaan BI, tetapi beliau lebih menekankan bahawa BM sebagai bahasa rasmi harus terus diperkasakan. Perdana Menteri menekankan bahawa ini bukanlah masalah bagi rakyat biasa, tetapi lebih kepada sebahagian kecil elit yang "tercabut dari akar tradisi, budaya, bangsa dan negara."

Kritikan Ong yang seolah-olah menuduh Anwar sebagai melabel pengguna BI sebagai "golongan elit" sebenarnya tidak tepat. Anwar tidak menyerang mereka yang menggunakan BI dalam urusan harian mereka, terutamanya dalam sektor korporat, akademik atau perkhidmatan awam.

Malah, Anwar secara jelas menyatakan bahawa penguasaan pelbagai bahasa, termasuk BI, adalah satu aset. Apa yang dikritik oleh Anwar adalah sikap golongan elit yang terlalu taksub dengan BI sehingga memandang rendah kepada penggunaan BM.

Ong juga memetik beberapa contoh di mana BI digunakan secara meluas dalam mesyuarat syarikat-syarikat tersenarai dan persidangan akademik, namun Anwar tidak pernah mencadangkan supaya BM digunakan dalam semua situasi ini.

Sebaliknya, Anwar menyeru kepada usaha bersama, termasuk oleh sektor swasta, untuk memperkasa BM dalam kehidupan seharian, sambil terus mengiktiraf kepentingan BI dalam konteks yang sesuai.

Ringkas, kritikan Ong terhadap ucapan Anwar tidak berasaskan kepada pemahaman penuh tentang konteks ucapan tersebut. Anwar bukan sahaja mengiktiraf kepentingan penguasaan BI, tetapi juga menekankan bahawa BM perlu diperkasakan sebagai bahasa kebangsaan yang menghubungkan semua rakyat Malaysia.

Ini bukan soal pemaksaan, tetapi satu tanggungjawab bersama untuk memastikan perpaduan nasional dan pembangunan budaya yang berteraskan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.



*Artikel ini ditulis Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan, yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.