Dalam operasi itu, JIM memaklumkan sebanyak 13 pekerja diperiksa dan sembilan pekerja warga asing ditahan kerana disyaki melanggar syarat-syarat pas dalam operasi yang dilakukan di Lebuh Sungai Pinang dan Minden Height, Gelugor.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki Myanmar dan Nepal berumur antara 25 hingga 40 tahun.
"Kesemua warga asing terbabit sepatutnya masuk ke sini untuk bekerja dalam sektor perkilangan, namun berdasarkan aduan dan risikan yang dilakukan, mereka disyaki bekerja di kedai runcit," menurut JIM dalam hantaran menerusi Facebook.
Ketika pemeriksaan dilakukan, pemilik perniagaan didapati tiada dan premis berkenaan dikendalikan pekerja asing.
JIM menjelaskan kesemua tangkapan ditahan untuk siasatan manakala majikan dan pemilik premis akan dikenakan tindakan undang-undang.
-- BERNAMA