Sembilan premis perniagaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diberi nasihat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka diberi notis nasihat ketika penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan SOP di 1,368 premis di seluruh negara pada Sabtu.

"Saya menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan terutamanya ketika jual beli barangan keperluan harian," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan barangan keperluan harian mencukupi.

Katanya pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan makanan di 845 premis perniagaan turut mendapati barangan keperluan adalah masih mencukupi dan mudah diperoleh.

"Secara keseluruhan bekalan makanan keperluan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan," jelasnya.