Bekas Perdana Menteri itu walau bagaimanapun tidak dibawa masuk ke bangunan berkenaan menggunakan laluan biasa, sebaliknya dipercayai dibawa naik melalui laluan khas dari tempat letak kereta yang menghubungkan terus ke mahkamah.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI mendapati sekumpulan penyokong yang memakai baju T tertera #JusticeForNajib dilihat berada di pekarangan Istana Kehakiman sejak pukul 8 pagi lagi bagi memberi sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Pihak keselamatan juga terus memperketatkan kawalan di dalam dan luar mahkamah sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk para media perlu mendaftar maklumat mereka empat kali sebelum dibenarkan masuk ke bilik mahkamah.
Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan prosiding pendengaran semakan sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd, Najib pada 20 Februari (hari ini) untuk mendengar permohonannya bagi menyemak sabitan dan hukuman kes itu.
Najib yang kini berusia 70 tahun sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun sama.
Beliau melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 September lalu, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.
Beliau memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan telah mendapatinya bersalah atas tujuh pertuduhan, iaitu tiga pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.
Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, telah menjatuhi hukuman dan denda itu terhadap Najib malah keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.
Pemimpin UMNO itu memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.
Pihak pendakwaan, dalam afidavit jawapan yang difailkan melalui Mohd Ashrof, menyatakan permohonan semakan Najib itu tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.