GEORGE TOWN: Sesi libat urus Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) bersama beberapa nelayan mendapati fenomena semula jadi seperti air pasang besar dan Monsun Barat Daya menyebabkan gangguan di kawasan dasar laut yang berlumpur seperti yang berlaku di Sungai Batu, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) Datuk Seri Farizan Darus berkata keadaan semula jadi kawasan pesisiran pantai Pulau Pinang Selatan adalah kawasan dataran lumpur dan ia turut disahkan semasa penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

PIC merupakan Syarikat Tujuan Khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memantau perkembangan projek Silicon Island.

"Pada 8 Ogos lepas, PIC bersama pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) telah dijemput oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk satu sesi libat urus bersama Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan (PNKPPS), dan dalam mesyuarat itu isu selut telah dibangkitkan oleh pihak nelayan.

"PIC bersama SID telah memberi penjelasan mengenai perkara itu dan diambil maklum mesyuarat, pihak SID bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang juga menjalankan siasatan bersama di kawasan yang dilaporkan serta hasil siasatan mendapati bahawa tiada penemuan yang mencurigakan dari pelaksanaan projek Silicon Island," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan sekumpulan nelayan di Sungai Batu di sini menghadapi masalah disebabkan kehadiran selut yang banyak dan tebal di kawasan pesisiran pantai sehingga menjejaskan punca pendapatan mereka kerana sukar ke laut.

Mengulas lanjut, Farizan berkata pemantauan garis pantai dijalankan secara berkala sejak Jun tahun lepas, dan pemantauan seterusnya dilakukan pada Disember 2023 selepas kerja-kerja tebus guna tanah dimulakan dan diteruskan setiap tiga bulan termasuk pada Mac dan Jun lepas.

Beliau berkata laporan iitu telah dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan analisis mendapati tiada perubahan ketara pada dasar laut selepas perbandingan dibuat antara peninjauan awal serta pemantauan seterusnya.

"Kajian penyiasatan tanah di pesisir laut yang dijalankan antara tahun 2014 hingga 2016 juga menunjukkan keputusan yang konsisten, iaitu terdapat lapisan tanah liat lembut yang tebal di bawah dasar laut," katanya.

Beliau berkata laporan pemantauan yang dikemukakan kepada JAS menunjukkan bahawa kualiti air di kawasan persekitaran projek adalah mematuhi had yang ditetapkan oleh JAS dan langkah-langkah kawalan hakisan serta sedimen seperti yang dicadangkan di dalam EIA serta Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang diluluskan.

"PIC kekal komited dalam memastikan semua kerja penambakan dilakukan mengikut garis panduan yang ketat demi kesejahteraan alam sekitar dan komuniti setempat. Sekiranya orang awam atau rakan nelayan memerhatikan sebarang fenomena yang luar biasa, sila laporkan kepada PPSN yang terdekat di Permatang Damar Laut atau Sungai Batu, atau hubungi talian PANTAS di 1300-88-9700," katanya.

-- BERNAMA