SHAH ALAM: Perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan adalah antara elemen siasatan bagi mengenal pasti motif pembunuhan remaja perempuan, Yap Xin Yuan, 15, yang mayatnya ditemukan di Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih lagi menunggu laporan bedah siasat dan keputusan toksikologi bagi mengukuhkan motif dalam kes tersebut.

"Selagi tidak dapat keputusan itu (toksikologi dan bedah siasat), kita tidak boleh kata mengambil dadah atau overdose. Motif buat masa ini, kita nampak melibatkan teman lelaki sama ada melibatkan perselisihan faham atau melibatkan dadah.

"Keadaan mayat yang reput menyukarkan pasukan patalogi untuk mengenal pasti kecederaan fizikal," kataya pada media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Jumaat.

Hussein memberitahu, berdasarkan siasatan awal, teman lelaki mangsa merupakan suspek utama dalam pembunuhan itu dan dua ahli keluarga suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek berusia 16, 20, dan 51, termasuk teman lelaki mangsa, didapati negatif.

Media melaporkan mayat Xin Yuan yang dilapor hilang sejak 19 Disember lalu, ditemui dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang, Bangi pada 28 Disember lalu.

Xin Yuan hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada pukul 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.

Remaja tersebut tidak pulang ke rumah selepas latihan dan sebaliknya dikatakan mengikuti rakannya ke satu lokasi yang tidak dapat dipastikan.