DARO: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memulakan program pertamanya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri  (DUN) Sarawak dengan menghadiri beberapa program di sini.

Pada jam 12.10 tengah hari, beliau mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud merasmikan Masjid Muhsinin yang bernilai RM9.5 juta.

Masjid ini siap sepenuhnya pada 29 Oktober lalu dan ia menjadi salah satu mercu tanda di pekan Daro dan kedudukannya di tengah kawasan pentadbiran dan komersial yang semakin membangun pesat.

Reka bentuk Masjid mempamerkan seni bina kontemporari Sarawak yang mengutamakan rekabentuk mengikut fungsi sesebuah ruang dan mampu menampung kapasiti sebanyak kira-kira 1635 jemaah.

Beliau kemudian menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Daro, sebelum menghadiri Majlis Pecah Tanah Bandar Baharu Daro dan Medan Selera Daro yang baharu.