Bak kata pepatah Inggeris, the sky's the limit ...

Mungkin ini pegangan seorang individu orang kurang upaya (OKU), Azzrulkhan Hasrullah untuk menawan Base Camp Gunung Everest, suatu hari nanti.

Azzrulkhan, atau lebih mesra dengan panggilan Adam, disahkan menghidap sakit polio sejak kecil sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya cacat.

Namun, kecacatan beliau tidak pernah menjadi halangan buat Adam untuk mencabar kemampuan diri bagi memenuhi minatnya menawan beberapa puncak gunung di dalam negara.

Adam berjaya menawan puncak Gunung Angsi yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan pada ketinggian 2,702 kaki dari aras laut atau 825 meter, kira-kira jam 12.30 tengahari setelah memulakan sesi pendakian seawal jam 3.30 pagi pada 2 September, 2017.

Kru Lensa AWANI cukup teruja dan terharu dengan pencapaian anak kelahiran Kuching, Sarawak ini.

Aktiviti pendakian itu dianjurkan bersama ahli Persatuan Anak Gunung Malaysia dan dibantu oleh pegawai dari Jabatan Hutan Negeri Sembilan sempena memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Menurut Adam, semuanya bermula semasa dia menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dan melihat kenalan serta rakan di laman media sosial Facebook memaparkan gambar menarik di puncak bukit serta gunung.

Lensa Awani

“Sejak 2014, saya mula minat aktiviti pendakian dan nekad hantar pesanan kepada seorang kenalan Facebook yang sering memuat naik gambar pendakian, walaupun saya tak pernah bertemu dengannya.

“Saya mesej dia, dalam tempoh seminggu hampir setiap hari saya memintanya untuk bawa saya daki bukit dan gunung. Namun dia menolak untuk bawa saya atas faktor diri saya seperti ini.

“Mujur ada rakan universiti dari jurusan kejuruteraan yang akhirnya bawa saya daki Bukit Broga,” katanya ketika ditemui sempena Pendakian Gunung Angsi bersama Pendaki Istimewa di Tapak Kaki Gunung Angsi.

Adam berkata, ketika pertama kali menjalankan aktiviti pendakian, dia tidak meminta kebenaran ibunya terlebih dahulu memandangkan bimbang dengan penerimaan ibunya, lebih-lebih lagi keluarganya sangat melindungi dirinya selain sembilan beradik yang lain.

Menurut Adam, sebaik dia selamat sampai ke bawah Bukit Broga, barulah dia menghubungi ibunya.

“Mak terkejut setelah diberitahu dan bimbang dengan aktiviti yang saya lakukan. Namun, saya tak pernah patah semangat untuk pujuk mak benarkan saya daki bukit serta gunung.

“Sehinggalah pada Oktober 2016 lalu, saya berjaya tawan puncak Gunung Kinabalu. Walaupun, gagal percubaan pertama Januari 2016 tahun lalu, namun saya tak patah semangat.

“Kini saya dalam siri latihan pendakian di beberapa gunung bagi memastikan saya mampu capai impian serta cita-cita untuk sampai ke Base Camp Everest pada Mac 2018,” katanya.

Lensa Awani

Dipilih jadi ikon

Walaupun hanya menggunakan kekuatan tangan serta merangkak hingga ke puncak, Adam tidak pernah patah semangat dan keistimewaan itulah menjadikan persatuan tertarik untuk memilih Adam sebagai ikon.

“Sebagai individu ‘istimewa’, Adam berjaya cabar kemampuan diri untuk tawan puncak bukit dan gunung. Malah, kita harap semangat Adam ini dapat beri inspirasi kepada individu lain, untuk sama-sama amalkan cara hidup sihat melalui aktiviti pendakian.

“Selepas Gunung Kinabalu, latihan turut diadakan di Gunung Trus Madi di Sabah. Namun Adam tak dapat sampai ke puncak kerana mengalami hipertermia.

“Bagaimanapun, pada pendakian gunung kali ini Adam berjaya menawan puncak Gunung Angsi," katanya.

Latihan seterusnya akan dijalankan sekali lagi di Gunung Kinabalu sebagai persiapan bagi mencapai sasaran pendakian ke Base Camp Everest pada Mac 2018.

Program Merdeka De Angsi mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Hutan Negeri Sembilan.

Kru Lensa AWANI mengucapkan Selamat Berjaya kepada Adam untuk pendakiannya yang seterusnya!


Nota: Musim kedua 'Lensa AWANI' bakal bersiaran pada 9 September, 2017 setiap Sabtu, jam 7.45 pagi dan Ahad (4.30 petang).