Kes demam denggi di Selangor semakin serius apabila mencatatkan sebanyak 1,000 kes dalam tempoh seminggu.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata sehingga Jumaat lepas, sebanyak 42,478 kes demam denggi dilaporkan dengan membabitkan 59 kematian di negeri ini.

"Jumlah ini amat besar berbanding pada 2013 yang mencatatkan hanya 23,500 kes denggi dalam tempoh setahun.

"Kita tidak tolak kemungkinan keadaan cuaca hujan dan panas yang silih berganti pada masa ini turut memudahkan pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

kepada pemberita selepas merasmikan program 'Terjah dan Musnah Aedes' peringkat negeri di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan bekerjasama melakukan pemantauan di kawasan berpontensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sebagai langkah memerangi demam denggi.

"Saya juga akan turun padang menerjah kawasan kediaman, tapak pembinaan dan beberapa kawasan lain Ahad ini untuk memeriksa lokasi pembiakan Aedes," katanya.

Mohamed Azmin turut mengingatkan masyarakat supaya melakukan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan persekitaran rumah masing-masing daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.