Sekumpulan pensyarah daripada pelbagai universiti tempatan sedang membuat penyelidikan berkaitan banjir yang melanda Kelantan bulan lepas.

Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Profesor Datuk Seri Ir Zaini Ujang berkata kumpulan berkenaan yang diketuai Dekan Penyelidikan Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Zulkifli Yusof, yang tiba di sini Khamis lepas, kini berada di Kuala Krai dan Tanah Merah untuk membuat penyelidikan.

"Tujuan mereka untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan banjir, melihat kembali kaedah mitigasi yang boleh kita gunakan, apakah SOP (prosedur operasi standard) yang diperlukan untuk menghadapi bencana banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Kelestarian Kesihatan Penduduk Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Antara universiti yang terlibat ialah Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Sains Malaysia, dengan kepakaran mereka berkaitan sumber air, banjir dan perkara lain yang berkaitan.

Zaini berkata penyelidikan oleh kumpulan pensyarah berkenaan melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama selama dua minggu mulai sekarang, diikuti fasa kedua selama tiga bulan dan fasa ketiga selama setahun.

Beliau berkata kajian itu dijalankan susulan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lepas supaya pakar daripada universiti tempatan mengembleng tenaga membantu kerajaan membuat kajian menyeluruh dalam isu banjir.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sesi persekolahan 2015 sekolah-sekolah terjejas banjir di Kelantan yang akan bermula esok, Zaini berkata 161 sekolah akan memulakan sesi persekolahan seperti dijadual esok manakala empat sekolah lagi ditunda kepada 18 Jan.

"Sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Khair Mohamad Yusof semalam, empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Sekolah Kebangsaan Dabong, Sekolah Kebangsaan Kemubu dan Sekolah Kebangsaan Lela Jasa, kesemuanya di daerah Kuala Krai," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kesemua sukarelawan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi yang bekerja keras membantu membersihkan sekolah yang dilanda banjir.