KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan mendapatkan bantuan khidmat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dari negeri lain sekiranya mengalami banjir luar jangka tahun ini.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata pendekatan bantuan itu pernah dilaksanakan sebelum ini ketika Kelantan berdepan banjir besar pada 2014 dengan menerima petugas dari Selangor dan negeri yang terletak di bahagian utara.

"Kita tidak ada penambahan petugas namun sekiranya berlaku banjir luar jangka seperti pada 2014 kita akan dapatkan penempatan petugas dari negeri lain yang tidak terjejas.

"Proses penempatan ini akan diaturkan melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM mengikut keperluan semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar "Burn Talk Back To Basic : Revitalizing Core Competencies in Burn Management" di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 98 fasiliti kesihatan yang berisiko terjejas banjir di negeri ini dan sebagai langkah kesiapsiagaan maklumat pesakit berisiko telah dilakukan bagi memastikan proses rawatan yang diberikan tidak terjejas.

Beliau berkata tiada penempatan khusus disediakan untuk petugas kesihatan Kelantan sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) namun jika keadaan memerlukan pihaknya akan menyediakan kemudahan asrama atau menyewa hotel untuk digunakan.

"Kita harap banjir besar tidak berlaku tahun ini di Kelantan kerana ramai juga petugas kita yang mungkin terjejas termasuk berdepan kekangan untuk ke tempat kerja akibat rumah dinaiki air," katanya.

Sementara itu, mengenai kes kecederaan akibat luka melecur dan terbakar di Kelantan Dr Zaini berkata terdapat kira-kira 40 hingga 60 kes setahun direkodkan di negeri ini dan ia masih mampu ditangani dengan kemudahan empat Unit Rawatan Kebakaran di Hospital Raja Perempuan Zainab II serta tiga unit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Beliau berkata antara punca utama kecedaran yang dikenal pasti adalah akibat kecuaian terkena air panas yang biasanya berlaku kepada kanak-kanak, api dan renjatan elektrik.

"Sebelum ini kes membabitkan kecuaian dalam rumah tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ada juga kes akibat pembakaran secara terbuka yang menggunakan minyak petrol sebagai bahan bakar," katanya.

-- BERNAMA