KUALA LUMPUR : Penyakit kusta tidak mempunyai vaksin yang khusus dan pencegahan terbaik adalah melalui amalan kebersihan diri serta penjagaan kesihatan yang baik.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhammad Adli Zainal Abidin berkata, vaksin BCG (Bacille Calmette-Guérin) yang diberikan kepada bayi semasa lahir didapati mampu mengurangkan risiko jangkitan kusta.

Katanya, kajian menunjukkan bahawa vaksin itu berkesan dalam membantu mengurangkan kebarangkalian individu untuk dijangkiti penyakit tersebut.

“Hal ini kerana penyakit ini merebak melalui titisan udara, terutamanya apabila individu yang dijangkiti batuk ataupun bersin. Namun, ia tidak mudah berjangkit dan hanya menular melalui kontak rapat serta berpanjangan dengan pesakit.

"Oleh itu, risiko penularan penyakit kepada orang lain adalah rendah,” kata Dr Muhammad Adli dalam temu bual racangan Pantau Agenda Astro AWANI pada Jumaat.

Pesakit kusta tidak perlu diasingkan, tetapi penting untuk mengenal pasti simptom awal jangkitan. Tempoh inkubasi penyakit ini boleh mencecah antara dua hingga lima tahun, dan tanda awal biasanya muncul pada kulit.

Bagi meningkatkan pengesanan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkukuh High Index of Suspicion (Tahap Kecurigaan Tinggi) di klinik kesihatan dan swasta, terutama di Negeri Sembilan.

Fokus diberikan kepada golongan berisiko seperti Orang Asli dan warga asing yang menunjukkan masalah kulit. Selain itu, PKD juga menjalankan pemantauan dengan memberi kesedaran kepada doktor di klinik kesihatan supaya dapat mengesan kes lebih awal.

Individu yang disahkan bebas daripada penyakit akan dibebaskan daripada kuarantin, tetapi tetap dipantau. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menjalankan pemantauan di kawasan terjejas serta memastikan tiada kes baharu.

Bagi pesakit kusta, pemantauan berterusan dilakukan walaupun rawatan telah selesai bagi memastikan mereka benar-benar pulih.

Beliau juga menjelaskan bahawa penyakit kusta tidak berpunca daripada haiwan, sebaliknya disebarkan melalui interaksi langsung antara manusia. Golongan yang tinggal di kawasan sesak, mempunyai tahap sanitasi yang rendah, dan memiliki sistem imun yang lemah adalah berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti.

Dr. Muhammad Adli menasihatkan orang ramai untuk bekerjasama dengan PKD dalam proses pengesanan kontak di kawasan terlibat, kerana ia memerlukan masa yang Panjang untuk mengesan penyakit tersebut.

Beliau juga menekankan kepentingan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berkredibiliti bagi mengelakkan penyebaran informasi yang tidak tepat di media sosial.

Pada Isnin seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun meninggal dunia selepas seminggu mengalami demam akibat jangkitan kusta, sementara lapan lagi individu sedang menerima rawatan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri mengesan penularan jangkitan ini pada 2 Januari, melibatkan lima penduduk dari Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan selebihnya dari KOA Guntur.