PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses menilai tahap kesihatan mental kanak kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).


Ringkasan AI
  • Penilaian Kesihatan Mental: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menilai tahap kesihatan mental kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).
  • Sokongan dan Kaunseling: KKM bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memberikan kaunseling dan sokongan kesihatan mental kepada kanak-kanak yang terlibat, walaupun banyak perkara masih dalam siasatan.
  • Bantuan Rawatan: KKM menyediakan bantuan rawatan yang diperlukan termasuk sistem sokongan kesihatan mental, namun statistik terkini mengenai kanak-kanak yang mendapatkan kaunseling belum dapat dikongsi kerana masih dalam proses siasatan.


Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihak Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dalam proses mengenal pasti tahap keseriusan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak terlibat.

"Apapun banyak perkara masih dalam siasatan dan kami terlibat untuk memberikan kaunseling.

“Kita bekerjasama kerana ini bukan tugasan KKM sahaja tetapi KKM akan terlibat apabila hal terkait dengan kesihatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly memaklumkan pihaknya belum dapat berkongsi statistik terkini kanak-kanak yang mendapatkan kaunseling kendalian MCHAM.

“Kalau nak statistik secara lebih jelas dan lebih konkrit saya tidak boleh menyebutnya secara spesifik.

"Kami berikan sokongan perkhidmatan kita secara khusus dan berlandaskan kepakaran dalam KKM, kita bersedia untuk membantu.

"Kalau perlu kita akan buat kenyataan kemudian tapi sekarang kita tidak ada apa-apa yang nak terbitkan kerana saya tegaskan masih banyak siasatan. Saya yakin perkara ini akan dapat kita berikan kemas kini dalam waktu terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia 2024 dan pelancaran Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 serta Pelan Tindakan Dementia 2023- 2030.

Terdahulu, KKM memaklumkan telah mengenal pasti ada dalam kalangan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISBH berdepan isu kesihatan mental dipercayai akibat trauma yang dihadapi.

Menurut Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni, ketika ini KKM menyediakan bantuan rawatan yang diperlukan termasuk sistem sokongan kesihatan mental.