Cadangan levi hospitaliti yang mahu dilaksanakan tidak kena pada masanya terutama dalam situasi ekonomi ketika ini khususnya di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun berkata tiada keperluan mengenakan levi hospitaliti untuk perkhidmatan itu malah ia boleh memberikan implikasi kepada industri pelancongan terutama di Sabah.

"Namun jika kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengenakan yuran hotel, ia harus disalurkan kepada promosi pelancongan negeri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku berjudul 'Pengislaman Dalam Kalangan Dusun Ranau (1940-1976)', di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mengenakan yuran hotel bagi meningkatkan pendapatan dan menggalakkan lagi industri pelancongan.

Masidi juga berkata kerajaan Persekutuan perlu berbincang dengan pemain industri sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada Sabtu lepas, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata cadangan mengenakan yuran hotel akan dilaksanakan di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak boleh memilih tidak menguatkuasakannya jika tidak mahukannya.