Kumpulan penjenayah, kongsi gelap atau 'gangster' kini dilihat semakin berani mencabar undang-undang negara selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 pada 15 September 2011.

Timbalan Menteri Dalam negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang kini mahu polis mengemukakan bukti sebelum sebarang tangkapan dapat dibuat.

"Penjenayah berani mencabar kuasa undang-undang dan kemampuan polis, itu kerana ISA sudah tidak boleh digunakan lagi,

"Situasi sekarang, polis perlu memberi bukti sebelum ada susulan tangkapan," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menjelaskan, polis sudah mengenal pasti punca insiden letupan bom di Bukit Bintang minggu lepas.

"Polis sudah memperkecilkan siasatan dan hasil siasatan lengkap akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

"Ia berpunca daripada perebutan antara kumpulan kongsi gelap," ujarnya.

Wan Junaidi turut memaklumkan, polis juga sudah menubuhkan beberapa unit di dalam Kementerian Dalam Negeri termasuk unit perisikan dan cawangan khas.

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihak polis perlu mempertingkatkan tahap risikan di jabatan mereka untuk mengenal pasti punca kejadian insiden bom di Bukit Bintang Khamis lepas.

Terdahulu, Wan Junaidi semasa sidang Dewan Rakyat menjawab soalan Ir Shaharuddin Ismail (BN) yang mahu tahu usaha kementerian bagi mengekang aktiviti kumpulan yang berkemungkinan mengganggu struktur perundangan dan menggugat keharmonian negara.

Wan Junaidi menjawab dengan memberitahu, kementeriannya mengemukakan tiga pendekatan iaitu melalui penguatkuaaan undang-undang kepada individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan suasana tegang, menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain kempen kesedaran dan ceramah berhubung keselamatan dan ketenteraman awam.