TANJUNG DAWAI: Sederet 13 buah rumah di Kampung Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Tanjung Dawai, di sini musnah dalam kebakaran dalam kejadian awal pagi Ahad.

Kejadian jam 7.15 pagi itu turut mengakibatkan seorang lelaki berusia 30-an melecur di bahagian kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 7.28 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Dr Rosdi Mat Yusof tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Dalam operasi itu, BBP Guar Chempedak serta BBP Sungai Petani selain bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran turut dipanggil untuk membantu.

"Keseluruhan anggota terbabit dalam operasi itu adalah seramai 25 anggota," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Azhar berkata, setibanya di lokasi mendapati, terdapat 13 rumah kelas A yang dianggarkan musnah 80 peratus.

Beliau berkata, dalam kejadian itu seorang lelaki melecur di bahagian kaki dan tangan sebelum dihantar ke hospital berhampiran oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setakat ini, Pos Kawalan Bomba (PBS) Tanjung Dawai, diaktifkan.

"Bagaimanapun punca dan kerugian masih dalam siasatan setakat ini," katanya.