SEREMBAN:Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 321 kesalahan pengguna jalan raya bagi tempoh dua hari penugasan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi bersepadu Codenamed@ Op COVID-19, seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata kesalahan paling tinggi dicatatkan melibatkan lesen kenderaan motor yang sudah tamat tempoh iaitu sebanyak 43 kesalahan manakala paling rendah tujuh kesalahan membabitkan tiada cukai jalan serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33).

Jelasnya, penugasan itu dilaksanakan sepanjang penguatkuasaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di seluruh negara bermula 16 Jan hingga 26 Jan ini berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani pandemik COVID-19.

"Penugasan kita ini juga lebih kepada aspek seperti kesalahan merentas sempadan melibatkan kenderaan perdagangan misalnya dalam bas, penumpang naik tapi penumpang tiada surat rentas sempadan, jadi itu juga akan kita fokuskan.

Kita juga akan melihat kesalahan melibatkan menyalahgunakan permit perjalanan yang mana mereka hanya boleh ke tempat tertentu sahaja tetapi mereka ke kawasan lain juga, kalau tak buat satu kawalan dan seliaan di lapangan, mereka akan salah guna," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pejabat JPJ Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada JPJ akan menambah anggotanya dalam penugasan membantu PDRM sepanjang PKP, PKPB dan PKPP itu, beliau berkata perkara itu akan diteliti mengikut keperluan selain akan bekerjasama dengan semua badan penguat kuasa.

Media sebelum ini melaporkan seramai 1,200 anggota JPJ di seluruh negara digerakkan mulai 16 Jan sehingga 26 Jan bagi membantu PDRM bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang dilihat semakin meningkat antaranya akibat ketidakpatuhan SOP oleh masyarakat tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata pejabat JPJ Negeri Sembilan di Senawang di sini akan ditutup sementara selepas kakitangannya akan menjalani ujian calitan COVID-19 pada hari ini serta esok dan sepanjang penutupan itu, kesemua urusan dialihkan ke cawangan JPJ di Kuala Pilah, Jempol dan UTC Seremban.

"Jika keputusan ujian tersebut diperoleh esok, pada Rabu kaunter akan dibuka semula tapi mungkin bukan dalam kapasiti penuh," katanya.

Sementara itu, Zailani meminta orang ramai agar memanfaatkan perkhidmatan Kaunter Bergerak JPJ(JPJ mobile) bagi urusan tertentu dalam usaha mengehadkan perjumpaan dan pergerakan orang ramai.

-- BERNAMA