ALOR SETAR: Sebahagian daripada keseluruhan 50,310 dos vaksin yang telah diperuntukkan kepada negeri Kedah bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, tiba di beberapa lokasi di negeri itu, hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Fikri Ujang menyatakan bahawa kesemua vaksin berkenaan akan ditempatkan di tiga Pusat Penyimpanan Vaksin (PSV) terpilih iaitu di fasiliti yang telah dilengkapi dengan peralatan peralatan dan persekitaran yang selamat melibatkan daerah Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.

Vaksin yang disimpan itu kemudiannya akan diedarkan ke 57 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri Kedah yang melibatkan fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta fasiliti agensi-agensi kerajaan dan dewan yang telah dikenalpasti.

Beliau menjelaskan bahawa proses pengedaran ke kesemua PPV akan dibuat mengikut keperluan pusat penerimaan masing-masing berdasarkan jadual suntikan yang telah disediakan PPV terbabit.

Tambah Dr Fikri, seramai 25,155 senarai penerima vaksin yang terdiri daripada petugas kesihatan KKM dan swasta, petugas barisan hadapan PDRM, APM, Kastam ,Imigresen, Penjara, Bomba dan lain lain kategori petugas barisan hadapan telah dikenal pasti untuk diberikan suntikan pada tempoh fasa pertama yang bermula pada 28 Februari sehingga penghujung bulan April 2021.

Seramai 768 petugas kesihatan dinegeri Kedah juga telah dilatih sebagai penyuntik (vaccinator) untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan bilangan berkenaan akan ditambah dalam fasa vaksinasi berikutnya apabila bilangan individu yang akan disuntik bertambah.

Menurut beliau, fasa kedua pula akan bermula pada April hingga Ogos 2021 dan akan mensasarkan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta mereka yang mengidap penyakit tidak berjangkit (NCD) manakala Fasa Ketika akan melibatkan semua penduduk Kedah yang berumur 18 tahun ke atas dan pekerja bukan warganegara yang dijangkakan akan bermula bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijangkakan akan memberi liputan vaksinasi kepada 80% penduduk dan pekerja bukan warganegara melibatkan 1.76 juta individu di negeri Kedah.

Beliau turut menegaskan bahawa perlaksanaan vaksinasi COVID-19 merupakan langkah tambahan bagi tempoh jangkamasa panjang untuk memperkukuhkan lagi program pencegahan kesihatan awam dalam memerangi COVID-19 dengan lebih berkesan.

Tambah Dr Fikri, inisiatif melalui program ini akan memberi ruang untuk melonjakkan kembali sektor sosial dan sektor ekonomi setelah mengalami kemelesetan akibat pandemik COVID-19.