'Saya terdengar bunyi jeritan meminta tolong dan terkejut apabila melihat ada tangan orang melambai- lambai di belakang rumah.'

Itu cerita anak kepada pemilik rumah yang terkejut dengan kejadian yang menimpa dua pekerja kontraktor ketika sedang membuat kerja- kerja pembaikan di rumahnya di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Menurut Jeff Teh,17, ketika kejadian dia baru pulang dari sekolah dan sedang bermain dengan telefon bimbitnya sebelum terdengar jeritan meminta tolong dari arah belakang rumahnya.

"Saya bermain telefon bimbit, terdengar ada satu suara cakap 'tolong-tolong', saya nampak dia cakap tolong ada tangan (melambai) dan saya pergi tolong. Saya angkat batu atas dia dan keluar saya panggil datuk saya kemudiannya panggil bomba, ambulans," katanya.


Sementara itu, difahamkan mangsa Chiam Meng Kuang seorang kontraktor, baharu sahaja memulakan kerja- kerja mengalihkan struktur runtuhan di rumah berkenaan hari ini.

Menurut, jiran, Chung Yoke Sim, mangsa sebelum ini pernah melakukan kerja sama di rumahnya beberapa bulan sebelum mengambil upah membersihkan sisa runtuhan konkrit di lokasi kejadian.

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

Yoke Sim berkata dia sempat melihat mangsa beberapa jam sebelum insiden malang itu menimpa mangsa dan seorang lagi pekerja.

Dalam kejadian jam 3.15 petang Chiam Meng Kuang maut, manakala pekerjanya Mohd Isa Salleh, cedera selepas dihempap runtuhan dinding konkrit rumah yang sedang dirobohkan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam pada petang Isnin.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala seorang lagi mangsa cedera ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata pemilik rumah berkenaan diarahkan supaya merobohkan struktur tambahan di kediaman tersebut di atas tanah rizab sungai.

Pihak berkuasa tempatan sudah memberi arahan kepada pemilik rumah dan operasi merobohkan struktur itu sudah dilakukan minggu lepas bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir.

Katanya, pemilik kediaman bagaimanapaun memohon untuk merobohkan sendiri kediamannya, namun berlaku kejadian tidak diingini hingga meragut nyawanya.

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat