Mendapan baharu yang muncul malam tadi itu dianggarkan sebesar dua kaki, terbentuk kira-kira 50 meter dari lokasi insiden minggu lalu.
Operasi mencari dan menyelamat Vijayaletchumy, 48, warganegara India yang hilang dalam insiden tanah jerlus Jumaat lalu, masuk hari keenam hari ini.
Anggota pasukan mencari dan menyelamat tiba di lokasi kira-kira jam 8.30 pagi untuk menyambung operasi mencari dan menyelamat.
Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa di Jalan Masjid India, semalam ditangguh jam 7.30 malam tadi, ekoran hujan lebat.
Sementara itu operasi pencarian di loji Indah Water di Pantai Dalam semalam, turut ditangguh ke pagi ini.
Setakat Selasa, pasukan SAR sedang memecahkan dinding atas manhole di lokasi kejadian untuk mendapatkan jarak penglihatan yang lebih jelas.
Pada masa sama, kerja-kerja pencarian melalui kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di sekitar Masjid India untuk menilai keadaan tanah.