IPOH: Seorang anggota polis berpangkat sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada penagih dan pengedar dadah, tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret S Punitha terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat.

Tempoh reman sehingga Rabu depan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan lelaki itu yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, ditahan pada Khamis kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM1,500 hingga RM10,000 daripada pengedar dan penagih dadah sekitar daerah Perak Tengah.

Tindakan itu dipercayai bagi mendorong anggota berkenaan tidak menganggu dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah aktiviti penyalahgunaan dadah berkenaan.

Pada Rabu, SPRM Perak menahan dua anggota polis berpangkat sarjan, termasuk seorang wanita, bagi membantu siasatan kes yang sama.

Kedua-dua mereka direman selama lima hari mulai semalam sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.