Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, keterangan mereka direkodkan pada Isnin dan Selasa.
Menurut beliau, pihaknya ketika ini sedang mengesan dua warga asing itu.
"Kita sudah ambil keterangan dua anggota itu dan ketika ini kita masih mengecam dua warga asing yang dikaitkan dalam video itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Video yang tular sejak minggu lalu itu antara lain memaparkan dua pekerja warga asing ditahan sebelum anggota polis terbabit membawa mereka masuk ke kawasan parkir di sebuah bangunan berdekatan dan didakwa mengambil sogokan daripada mereka.
Sebelum ini, Shahrulnizam menegaskan polis sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung video tular itu bagi mengesahkan kejadian yang sebenar.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan video berkenaan sekitar pukul 5 petang, Ahad lalu.
Shahrulnizam menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana anggota yang terlibat dalam salah laku atau perbuatan jenayah.