KUCHING: Sarawak sedang membuat pertimbangan bagi penubuhan sebuah entiti disatukan untuk pengurusan aset dan pelaburan bagi meningkatkan hasil kerajaan negeri dalam jangka panjang, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pakar untuk menjalankan kajian bagi kebolehlaksanaan entiti yang menyamai peranan di negara maju lain seperti Temasek Holdings Singapura dan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC).

Abang Johari berkata, semua aset kerajaan yang dipegang oleh pelbagai badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan disatukan di bawah entiti sama serta dikendalikan seperti perniagaan lain.

"Model pengurusan aset dan pelaburan dengan keanggotaan ahli sebagai pemegang saham, akan menyediakan persekitaran kondusif bagi pergerakan profesional dalam kalangan anggota dengan prinsip 'lantik dan pecat' bagi memastikan badan itu diurus dengan baik.

"Kaedah sedemikian akan membolehkan aspek imbuhan ditetapkan pada paras lebih tinggi yang menyamai kalangan mereka di negara-negara maju," katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak bersempena majlis penutup Pemukiman Satu Pasukan Perkhidmatan Awam Sarawak selama tiga hari di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Khamis.

Mengulas selanjutnya, Abang Johari berkata, pada masa ini, unit pelaburan Sarawak dikendalikan oleh Sarawak Incorporated manakala Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak telah beroperasi dengan suntikan modal awal RM8 bilion daripada kerajaan negeri. - BERNAMA