Kerajaan Sarawak hari ini menubuhkan jawatankuasa kecil dan meluluskan untuk memperhebatkan aset-aset pemantauan bagi mengawal sempadan negeri ini dari diceroboh warga asing sepanjang tempoh Printah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah drastik itu dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dari negara jiran seperti Indonesia tidak merebak ke Sarawak.

Tegas beliau, apa yang menjadi kebimbangan kerajaan negeri adalah laluan tikus yang digunakan warga asing untuk masuk ke Sarawak.

"Oleh itu, kita memperhebatkan kawalan sempadan kita seperti di Long Singut, Kapit. Kawalan diperhebatkan di jalan tikus yang jadi potensi warga asing untuk memasuki Sarawak.



"Justeru, saya meluluskan peruntukan untuk menambah alat-alat aset bagi mengawal perbatasan ini," katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Negeri Sarawak.

Selain itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata, beliau berpuas hati dengan operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berjalan baik selain situasi di lapangan adalah terkawal.

Malah, beliau juga berpuas hati dengan pengagihan makanan yang bermula Ahad ke kawasan pedalaman berjalan lancar.