Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu juga mengulangi gesaan supaya diwujudkan Pelan Tindakan Cuaca (CAP) peringkat kerajaan tempatan dalam mempromosi kelestarian dan pengurangan gas rumah hijau (GHG) dalam menangani perubahan iklim.
“Contohnya di Selangor sahaja, berapa banyak bangunan pencakar langit dan bagaimana mungkin kita boleh menyediakan insentif untuk kualiti tinggi dan bangunan cekap tenaga?
“Apakah kita boleh menyediakan sejumlah pelaburan dalam tenaga dijana semula oleh kerajaan dan melaksanakan pengurusan sisa mampan?” soalnya.
Persidangan Habitat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) kedua (#UNHA2), berlangsung di Nairobi ketika ini bermula dengan seruan supaya pembangunan bandar lestari dan multilateralisme yang berkesan bagi mencipta bandar yang lebih baik, lestari dan tahan krisis.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Shariff menggesa naratif dan pendekatan terhadap bandar diubah.
"Kita mesti mengubah pendekatan terhadap bandar. Bandar bukan sahaja punca masalah, tetapi mereka juga dapat mencipta dan memperluaskan penyelesaian.
"Jika dirancang, dibina dan diurus dengan baik, bandar adalah bentuk penempatan manusia yang paling lestari dan jawapan kepada kecemasan iklim.
"Tindakan tempatan dan multilateralisme yang berkesan dan inklusif adalah sangat penting bagi kemajuan global," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Agenda AWANI di Nairobi pada Isnin.