Isu-isu berkaitan siber dan media adalah antara perkara yang dibincangkan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir hari ini.

Diplomat Amerika Syarikat itu membuat kunjungan hormat ke atas Salleh di pejabat beliau di Angkasapuri, di sini.

"Kami mengadakan mesyuarat yang sangat berhasil. Ini cuma pertemuan mesra dan saling berkenalan," kata Kamala kepada media selepas mesyuarat tertutup yang berlangsung selama 75 minit.

"Kami pernah bertemu sebelumnya pada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU). Jadi, ini adalah peluang untuk duduk bersama dan berbincang mengenai isu-isu di bawah bidang kuasa beliau (Salleh)," kata Duta AS itu.

Kamala menyandang jawatan sebagai duta Amerika Syarikat yang baharu ke Malaysia pada Januari tahun ini.

Beliau menggantikan Joseph Yun, yang menamatkan perkhidmatan pada Oktober tahun lepas setelah tiga tahun menjawat jawatan tersebut.

-- BERNAMA