SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengurus syarikat pengangkutan berkaitan kerajaan (GLC) kerana dipercayai menggunakan jawatannya untuk menyokong sebuah syarikat yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja mengangkut bahan mentah komoditi.

Menurut sumber, lelaki berusia dalam lingkungan 30an itu dipercayai melakukan perbuatan itu pada Ogos 2019 sebagai balasan membantu syarikat milik isterinya untuk dilantik sebagai sub kontraktor pengangkutan di bawah syarikat pengangkutan tersebut membabitkan nilai kerja keseluruhan kira-kira RM80,000.

Menurutnya, suspek yang kini bertugas sebagai pengurus di syarikat milik isterinya ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah  Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam Selangor pada jam 8.30 pagi esok (Selasa) untuk dituduh.