KADAR vaksinasi COVID-19 penduduk dewasa negara mencapai angka 90 peratus, pada Ahad.

Ini seiring dengan pembukaan semula sempadan negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Seramai 21,073,482 individu atau 90 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 94.8 peratus atau 22,185,520 populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 112.1 peratus diikuti Labuan (99.1 peratus), Negeri Sembilan (98.6 peratus) dan Perlis (93.2 peratus).

Paling rendah adalah Sabah (65.1 peratus), diikuti Kelantan (73.6 peratus), Kedah (79.5 peratus), Perak (79.8 peratus) dan Pahang (80.3 peratus).

Negeri yang mencapai kadar vaksinasi 80 peratus ke atas ialah Pulau Pinang, Sarawak, Melaka, Johor serta Terengganu.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 21,305,196 individu atau 65.2 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, 74.9 peratus atau 24,457,378 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 231,714 atau 7.4 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 129,518 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi program imunisasi COVID-19 kebangsaan (PICK) adalah 45,650,714 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.