ALOR SETAR: Misteri kehilangan pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, di Baling terungkai selepas polis memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat membunuh mangsa.


Ringkasan AI
  • Polis Kedah telah menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam pembunuhan Sabari Baharom, seorang pesara Felcra yang hilang sejak 4 September.
  • Kedua-dua suspek mengaku mencampak mangsa ke dalam Sungai Padang Terap, namun sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan usaha mencari masih diteruskan.
  • Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan polis telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa serta meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi dan membantu dengan menyalurkan maklumat.


Dalam kejadian itu, Sabari dipercayai diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat sebelum dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu.



Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu.

“Ekoran perkembangan kes orang hilang, Polis Kedah berjaya mengesan dan memberkas dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil siasatan dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap.

"Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan melibatkan kes orang hilang melibatkan mangsa kini dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis juga telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Sebaliknya orang ramai diminta untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” katanya.



Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada di lokasi.



Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Pelbagai usaha mencari telah dilakukan oleh ahli keluarga namun sehingga kini Sabari masih gagal dikesan.