Demikian kata Suraiya Izzaty, 29, anak sulung pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang maut dipercayai dibunuh, bulan lalu.
Suraiya berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, ketika hadir untuk mengikuti pertuduhan terhadap seorang kontraktor dan anak saudaranya atas pertuduhan membunuh Sabari.
Mengulas lanjut, dia berkata ini kali pertama melihat kedua-dua suspek ketika dibawa ke mahkamah.
“Ini kali pertama saya tengok (tertuduh) tapi tidak nampak muka. Saya sangat sedih sebab sampai hati mereka buat ayah saya macam itu, harap mereka dapat balasan setimpal (jika terbukti bersalah)," katanya.
Katanya, dia berharap agar arwah bapanya mendapat keadilan dan kes tersebut menjadi pengajaran kepada semua orang.
"Setiap negara itu ada undang-undang dan kita tidak boleh buat sesuka hati dengan menganggap kita akan terlepas," ujarnya.
Menurutnya, dia dan dua adiknya, Nur Aina Sofiya, 28, serta Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, tidak pernah berhenti berdoa agar jasad bapa mereka yang dicampak ke dalam Sungai Padang, Terap di sini dapat ditemui.
"Kami setiap hari berdoa semoga kita jumpa jasad dia (bapa) dan kes ini menjadi lebih mudahlah," jelasnya.
Tambahnya, dia akan mengikuti perbicaraan kes itu sekiranya berkesempatan.
"Hari ini pun saya datang (mahkamah) untuk adik-adik saya," katanya.
Sementara itu, Suraiya Izzaty tidak masuk ke dalam kamar mahkamah, namun menanti dua tertuduh keluar dari bangunan mahkamah.
Suraiya Izzaty hadir bersama ibu dan bapa saudaranya serta peguam pemerhati keluarga, Syuhada Mohd Soberi.
Terdahulu, dia dilihat menahan sebak dan menangis ketika dua tertuduh itu tiba di pekarangan mahkamah untuk pertuduhan.
Dalam pada itu, abang Sabari, Ismail, 69, berkata, dia masih pergi ke Sungai Padang Terap untuk berusaha mendapatkan maklumat tentang jasad arwah adiknya itu.
"Saya masih pergi lagi, mana tahu kalau dapat apa-apa maklumat. Harapan untuk jasad itu dijumpai masih ada," katanya.
Dia juga berharap agar sesiapa yang menemui barangan yang disyaki mempunyai kaitan dengan Sabari agar memaklumkan kepada polis.
"Kita harap kepada sesiapa yang menjumpai apa-apa seperti cebisan-cebisan supaya beritahu polis," tambahnya yang berharap agar ada keadilan dalam kes pembunuhan arwah adiknya itu.
Terdahulu, seorang kontraktor dan anak saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Sabari pada bulan lalu.
Tertuduh, Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26, pekerja kilang mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Huda Idris.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh. Mereka dilihat tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki terbabit didakwa secara bersama membunuh Sabari di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 4 September lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.