Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan sedang dilakukan ketika ini dengan pelbagai perancangan yang telah direncana dan dilaksana bagi kebaikan rakyat.
Hanya satu permintaan beliau kepada rakyat agar kerajaan dapat mengembalikan kegemilangan jenama Malaysia selaku 'Asian Tiger'.
"Hanya yang kita minta ialah kesabaran, kesabaran dari rakyat, dari jentera kerajaan dan anggota kerajaan. Kita tidak dapat tabur duit percuma kerana kita tidak ingin menyalahguna kuasa yang diberi kepada kita sebagai kerajaan.
"Kita juga tidak akan tipu dan menubuh syarikat untuk selewengkan wang yang dihutang olehnya, tetapi percayalah apabila kita majukan negara, rakyat akan dapat bukan sahaja nikmat dari pembangunan tetapi nikmat dari peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan," tegas Dr Mahathir semasa berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Padang Kota Lama, Pulau Pinang malam tadi.
Beliau juga merungkai makna sambutan kemerdekaan yang perlu dirai oleh rakyat Malaysia serta menjiwai semangatnya dengan mencintai Malaysia.
"Bersamalah kita bangun tegap dengan bangganya untuk 'Sayangi Malaysiaku' kerana negara Malaysia adalah kita punya," ujar beliau.
Berikut ucapan penuh Tun Dr Mahathir:
UCAPAN YAB PERDANA MENTERI TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
BERSEMPENA MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN
DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2018
DI PADANG KOTA LAMA, PULAU PINANG,
PADA SABTU, 4 OGOS 2018,
BERSEMPENA MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN
DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2018
DI PADANG KOTA LAMA, PULAU PINANG,
PADA SABTU, 4 OGOS 2018,
1. Setinggi-tinggi kesyukuran, Alhamdulillah saya lafazkan ke hadrat ALLAH S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya dapat kita berhimpun pada hari ini di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran kita bagi tahun 2018.
2. Kali ini kemerdekaan kita mempunyai lebih makna kerana bukan sahaja kita rayakan Kemerdekaan dari penjajahan oleh kuasa asing, tetapi juga dari kleptokrasi, dari pemerintahan kuku besi.
3. Sesungguhnya rakyat rata-rata berasa lega dan gembira kerana diselamatkan dari aneka jenis tekanan dan keseksaan yang kita tidak sangka boleh melanda negara kita. Bahawa kita dapat merebut balik kebebasan kita dari kezaliman Kerajaan kleptokrat adalah kejayaan luar biasa.
4. Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka. Dengan berani mereka keluar berduyun-duyun untuk mengundi menolak kleptokrasi. Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan tetapi rakyat tidak gentar. Hasilnya ialah kejayaan yang luar dari dugaan.
5. Rakyat berhak gembira merayakan pencapaian mereka. Tidak banyak negara yang dapat menukar pemerintahan tanpa rusuhan dan kematian pejuang. Tetapi kerana kemenangan rakyat begitu besar dan nyata, pemerintah dahulu terpaksa akui kekalahan dan menyerah kuasa.
6. Inilah yang kita rayakan hari ini. Oleh kerana ini adalah kemenangan rakyat maka rakyat perlu nyatakan kegembiraan mereka dengan mengibar lambang negara kita, Jalur Gemilang. Mereka perlu kibar Jalur Gemilang di semua pelusuk negara, di bandar dan di kampung, di kereta dan di rumah, di pejabat dan di kedai-kedai, di jalan-jalan dan di lautan pun.
7. Biarlah dunia lihat bahawa negara kita selamat, dan diselamat oleh rakyat.
8. Ya, negara kita dibeban dengan berbagai masalah kerana salahguna kuasa oleh pemerintah dahulu. Hutang kita bertimbun, jentera Kerajaan rosak, kemiskinan melanda ramai rakyat, perniagaan dan dagangan merosot. Banyak masa perlu dihabis dalam usaha memulih negara. Tetapi berkat sokongan rakyat Kerajaan dapat berusaha mengatasi masalah-masalah ini dalam keadaan stabil.
9. Kita tidak berminat untuk balas dendam. Tetapi tidak dapat tidak tindakan terpaksa diambil terhadap mereka yang membawa bencana kepada negara tercinta ini.
10. Kita akan pegang kuat kepada the rule of law, kepada pemerintahan mengikut undang-undang, walaupun proses ini mengambil masa. Benar lebih mudah dan lebih cepat jika undang-undang diketepikan atau disalahguna. Tetapi kita tidak hendak melaku zalim kepada sesiapa. Kita utamakan keadilan. Inilah janji kita. Akan kita pegang kepada janji walaupun melambatkan proses menghukum mereka yang kita tahu bersalah.
11. Semua ini kita lakukan kerana Malaysia adalah negara kita dan kita sayang negara kita Malaysia. Patriotisma adalah satu perasaan yang mulia.
12. Slogan kita untuk perayaan kedua-dua kemerdekaan negara kita ialah “Sayangi Malaysiaku”.
13. Slogan ini tepat dan kena pada masanya. Kerana kita sayangi Malaysialah maka kita berusaha menyelamatkan negara kita dari kleptokrasi.
14. Sekarang saya ulangi buktikanlah kesayangan kita kepada Malaysia kita dengan mengibar Jalur Gemilang.
15. Kerajaan pilihan rakyat berjanji akan berusaha sungguh-sungguh untuk mengembalikan negara bertuah ini sehingga menjadi Asian Tiger semula. Kita yakin kita boleh jika tidak sepenuhnya tetapi meletakkan balik ke jalan yang dapat membawa kita ke arah itu.
16. Hanya yang kita minta ialah kesabaran, kesabaran dari rakyat, dari jentera Kerajaan dan anggota Kerajaan. Kita tidak dapat tabur duit percuma kerana kita tidak ingin menyalahguna kuasa yang diberi kepada kita sebagai Kerajaan. Kita juga tidak akan tipu dan menubuh syarikat untuk selewengkan wang yang dihutang olehnya. Tetapi percayalah apabila kita majukan negara, rakyat akan dapat bukan sahaja nikmat dari pembangunan tetapi nikmat dari peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.
17. Kita akan kawal kos sara hidup supaya wang yang kita perolehi akan dapat membeli lebih banyak barangan dan khidmat dari dahulu. Ini akan berlaku kerana daya keluaran kita akan meningkat dengan mengguna cara-cara baru yang lebih efisien dan produktif.
18. Kehidupan rakyat akan menjadi lebih bahagia kerana kebebasan bersuara dan bersurat akhbar. Hak perikemanusiaan akan dinikmati oleh semua. Rakyat bebas mengkritik Kerajaan. Mereka tidak lagi akan didera dengan dikenakan cukai tambahan, pembekuan wang dibank, diturun pangkat, dihenti kontrak dan bermacam lagi deraan yang dikenakan kepada mereka jika tidak menyokong Kerajaan dahulu.
19. Sebuah negara akan maju jika rakyatnya maju. Untuk menentukan rakyat maju maka peluang menuntut pelajaran akan diperbanyakkan melalui biasiswa dan menambah pusat-pusat latihan dan pelajaran. Latihan kemahiran akan ditingkatkan supaya nilai ekonomi rakyat akan meningkat. Bagi yang terlatih dan cekap peluang kerja akan ditingkatkan melalui berbagai rancangan.
20. Kerajaan harap rakyat akan sambut baik perancangan dan strategi Kerajaan. Kita semua sedar rancangan apa pun tidak akan berjaya jika tidak dituruti dengan kesediaan dan perlengkapan rakyat bagi merebut peluang-peluang yang akan diwujudkan. Menepuk tidak mungkin berbunyi dengan sebelah tangan sahaja.
21. Bulan Ogos sinonim dengan Bulan Kebangsaan yang semestinya perlu diisi dengan aktiviti-aktiviti berbentuk patriotik dan Kenegaraan bagi menzahirkan rasa cinta kepada Negara.
22. Antara aktiviti paling mudah yang boleh kita semua lakukan adalah mengibarkan Jalur Gemilang. Kempen kibar Jalur Gemilang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ini tidak akan berjaya jika rakyat Malaysia tidak menyokongnya.
23. Berbanggalah untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja; di rumah, di kereta, di bangunan dan di mana sahaja yang sesuai. Kibarkanlah Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta terhadap negara sekali gus bersyukur dengan nasib kita yang begitu baik kerana dapat menukar Kerajaan tanpa rusuhan.
24. Merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah, tetapi juga bermaksud menghayati semangat jiwa merdeka itu dengan menyayangi negara sepenuh hati dan sanggup berkorban untuk negara ini dengan apa cara sekalipun. Diucap terima kasih kepada yang telah menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia. Buktikanlah yang Rakyat Malaysia sanggup berkorban untuk Malaysia.
25. Bersamalah kita bangun tegap dengan bangganya untuk Sayangi Malaysiaku!, kerana negara ‘Malaysia adalah Kita Punya’.
26. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan, semoga Malaysia terus maju, aman dan harmoni. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2018.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
4 OGOS 2018