Isu kemudahan asas yang menghantui hampir 50 peniaga sejak puluhan tahun di gerai jualan lokan dan kelapa bakar di Kampung Salut bagai tiada kesudahan.

Setiap kali menjelang pilihan raya umum ada sahaja janji yang ditabur untuk menambah baik lokasi para peniaga untuk mencari rezeki.

Namun sehingga kini, tiada projek pembangunan dilakukan bagi menaik taraf tapak jualan mereka.

Bagi peniaga walaupun janji demi janji ditabur, mereka perlu meneruskan perniagaan makanan dan minuman di gerai kayu itu.

Sanizah Hamzah, 30, berkata harapan terus disandar kepada pihak berwajib untuk melihat masalah yang dialaminya bersama peniaga lain.

"Kami amat perlukan satu tapak yang lebih selesa... selesa untuk kami berniaga dan selesa untuk para pelanggan yang datang.

"Pihak berwajib perlu ambil kira tapak baharu yang turut dilengkapi kemudahan asas seperti ruang letak kereta, letrik, bekalan air dan paling penting tempat pembuangan sampah," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Ini antara gerai yang menjual lokan bakar di Jalan Sulaman.
Bagi Siti Rafizah Hamzah pula, masalah kemudahan asas itu menyukarkan operasi perniagaan.

Masakan tidak, gerai perlu ditutup lebih awal memandangkan tiada bekalan letrik selain perkara itu menimbulkan ketidakselesaan kepada para pelanggan.

"Macam gerai saya ini terpaksa tutup awal jam 5 petang sebelum hari gelap. Pada sebelah tengah hari pula, pelanggan mengadu panas sebab tiada kipas.

"Malah, tandas yang kami sediakan untuk kegunaan sendiri turut dibenarkan digunakan oleh para pelanggan," katanya.


Senada dengan Siti Rafizah dan Sanizah ialah Saadiah Sad, 40, yang mahu masalah tapak dan kemudahan asas diatasi pihak berkuasa.

"Bagaimana kami mahu keselesaan, perkara (selesa) itu juga kami mahu para pelanggan kami rasai ketika datang ke gerai kami," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata terdapat perancangan dibuat kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu dengan menyediakan tapak baharu kepada para peniaga di kawasan tersebut.

Katanya, tapak baharu itu meliputi gerai-gerai jualan untuk para peniaga, kawasan letak kereta, tandas awam dan kemudahan-kemudahan lain.