KIGALI: Rwanda mencatatkan tujuh kes baharu penyakit virus Marburg dan satu lagi kematian, menurut angka terkini yang dikeluarkan lewat Rabu oleh Kementerian Kesihatan Rwanda, lapor Xinhua.

Jumlah keseluruhan jangkitan virus Marburg sejak wabak bermula kini sebanyak 36 kes, dengan 11 kematian dilaporkan setakat ini. Sekurang-kurangnya 25 orang sedang diasingkan dan menerima rawatan, kata kementerian itu.

Pihak berkuasa kesihatan pada minggu lepas berkata sehingga 300 individu sedang dipantau dengan teliti selepas mereka dikenal pasti sebagai kontak kepada kes virus Marburg yang disahkan sejak virus itu merebak di negara ini.

Kerajaan telah melarang lawatan ke atas pesakit yang dimasukkan ke hospital dan menggantung lawatan bulanan kepada pelajar di sekolah berasrama sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengurangkan risiko penularan.

Kementerian kesihatan menasihatkan sesiapa yang mengalami gejala seperti demam tinggi, sakit kepala teruk, muntah, sakit otot, atau sakit perut supaya segera mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan terdekat.

-- BERNAMA