KUALA LUMPUR:Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan lulus di Dewan Rakyat selepas diputuskan menerusi undian belah bahagian.

Keputusan undian dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dengan seramai 110 wakil rakyat menyokong, tujuh tidak menyokong, 31 tidak mengundi, sementara 72 tidak hadir.

Sebelum undian dijalankan, sesi penggulungan bagi kementerian berkenaan dilakukan oleh Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Undian belah bahagian dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah tersebut.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon memutuskan sidang diberi tempoh selama 10 minit.

Ia selepas dua minit loceng pertama dibunyikan bagi membolehkan ruang masa diberi kepada Ahli Parlimen untuk berada dalam dewan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM956.7 juta kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.