Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media & Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, indikator awal itu boleh dilakukan apabila kerajaan mengawal selia media sosial dan mempunyai akses yang lebih besar.
BACA: Bagaimana gelombang keganasan di UK tercetus?
Mengambil contoh insiden rusuhan di United Kingdom (UK), beliau menjelaskan apa yang berlaku di negara itu berpunca daripada elemen maklumat salah melibatkan suspek bunuh, yang akhirnya menyebabkan obsesi dan kepercayaan terhadap kandungan yang dibincangkan di media sosial.
"Jadi kita kena ada pengawalan kendiri iaitu memastikan algoritma yang terbentuk secara organik dan algoritma yang datang itu dikawal oleh diri kita sendiri.
"Organisasi platform media sosial juga disaran, dengan bantuan pihak tertentu khususnya mengenai perundangan yang kerajaan perkenalkan untuk melesenkan semua pemilik media sosial ini, supaya mereka juga boleh membantu memberikan amaran awal terhadap algoritma.
"Selain itu, kita juga faham bahawa sentimen algoritma ini boleh dimanipulasi dan kita kena bertindak sebagai salah satu aset pertahanan negara, secara 'citizen journalist' atau tentera siber awam.
"Apabila ada algoritma seperti ini (radikal), kita boleh mematahkan algoritma tersebut dengan memberikan aduan dan menyampaikan maklumat supaya mereka ini boleh dikenakan tindakan dan disekat daripada terus melakukan manipulasi algoritma," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Keganasan di UK tercetus apabila maklumat palsu menyebarkan nama dan identiti penyerang dengan dakwaan dia seorang migran dari Syria yang tiba di negara itu dengan menyeberangi Selat Inggeris menggunakan bot kecil, dan kononnya seorang Muslim.
Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan itu sehari selepas ia tersebar dan menegaskan suspek dilahirkan di Britain tetapi naratif palsu tersebut sudah mendapat perhatian ramai.
Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata insiden yang berlaku di UK, sebuah negara moden dan berkembang maju dalam teknologi tidak mustahil boleh menimpa negara-negara lain, jika penyebaran maklumat salah itu tidak dibendung.
Katanya, situasi bertambah buruk apabila wujud sikap seperti memainkan sentimen etnik, kaum dan bangsa, sekali gus menjadi garis pemisah yang boleh mengapi-apikan kumpulan tertentu.
"Di Malaysia, kita bernasib baik kerana mempunyai satu mekanisme atau langkah pengawalan keselamatan yang cukup baik. Justeru, rakyat Malaysia harus menyokong dan memastikan undang-undang seperti SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012), dan POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959) terus disokong.
"Selain itu, kita juga perlu jadikan budaya untuk tidak terlalu taksub kepada emosi khususnya apabila mendapat berita yang mungkin sukar dipercayai, dan mudah dipercayai apabila menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya, maka harus meletakkan tempoh bertenang sebagai satu asas untuk mengelakkan spekulasi yang lebih buruk berlaku," nasihat beliau.