BERLIN: Canselor Jerman Olaf Scholz sekali lagi mengkritik dasar luar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam temu bual bersama kumpulan media Jerman, Redaktionsnetzwerk Deutschland (RND) yang disiarkan pada Sabtu, Scholz mengecam cadangan Trump agar bantuan ketenteraan berterusan kepada Ukraine harus dikaitkan dengan akses kepada sumber asli negara itu.

"Ukraine sedang diserang, dan (Jerman) membantu tanpa mengharapkan bayaran sebagai balasan. Itulah sepatutnya menjadi sikap semua pihak," kata Scholz, merujuk kepada sokongan ketenteraan Jerman kepada Ukraine dalam menentang Rusia.

Sebelum ini, Scholz menyifatkan permintaan seperti itu sebagai "sangat mementingkan diri sendiri" selepas sidang kemuncak tidak rasmi Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.

Beliau turut mengecam ancaman Trump untuk mengenakan tarif terhadap import dari EU.

"Ekonomi global memerlukan sekatan perdagangan dikurangkan, bukan lebih banyak," katanya.

Jika ancaman itu menjadi kenyataan, "Suruhanjaya Eropah mampu bertindak balas dalam masa beberapa jam," katanya, mengulangi kenyataan serupa yang dibuat di Brussels sebelum ini.

Scholz menegaskan bahawa beliau akan terus berusaha mengekalkan hubungan baik dengan Washington, sambil menekankan bahawa AS adalah sekutu paling penting bagi Jerman.

Namun, sebagai ketua ekonomi terbesar EU, beliau melihat ia sebagai tugasnya dalam mempertahankan kepentingan rantau itu, termasuk apabila negara kecil seperti Denmark berdepan ancaman Trump untuk menduduki Greenland.

-- BERNAMA