Rundingan akhir Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dijangka diadakan pada minggu depan sebelum perjanjian membabitkan Malaysia dan Singapura dapat dimuktamadkan menjelang akhir bulan ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong berkata pihaknya berharap agar dua isu berbangkit berhubung projek menghubungkan Johor dan Singapura itu dapat diselesaikan pada rundingan itu dan seterusnya menyemak kandungan perjanjian sebelum dokumen tersebut ditandatangani.

Pada masa sama, pihaknya turut menunggu pembentukan Kabinet baharu kerajaan Singapura yang baru selesai mengadakan pilihan raya umum semalam untuk merealisasikan projek tersebut.

"Sekiranya kita dapat selesaikan rundingan pada minggu hadapan, maka sudah sampai masanya untuk kita memeterai perjanjian itu. Kesemua (rundingan) ini kita perlu lakukan sebelum 31 Julai ini.

"Saya yakin Kementerian Pengangkutan yang mengetuai rundingan bersama-sama agensi lain akan dapat mengatasi satu persatu (isu berkenaan)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di Pejabat MCA negeri di sini, pada Sabtu.

Wee yang juga Presiden MCA, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dua isu berbangkit tersebut atas dasar semangat kejiranan Malaysia-Singapura yang berusaha menyelesaikan perkara itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan RTS berikutan mesyuarat jawatankuasa teknikal projek itu yang dijadualkan pada Isnin ini.

Projek RTS sepanjang empat kilometer itu menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata kementerian itu juga dalam proses membaiki dan membaik pulih landasan rel yang menghubungkan Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah.

"Saya agak kecewa kerana kemajuannya agak lambat. Kita kena ambil tindakan cepat kerana kedua-dua pelabuhan ini mengendalikan kargo kontena yang banyak.

"Kita perlu menggunakan rel sedia ada secara optimum untuk selesaikan masalah kesesakan," katanya ketika mengulas mengenai pertemuannya dengan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, semalam.

-- BERNAMA