JOHOR BAHRU: Polis percaya berjaya menumpaskan 'Geng Bala' yang aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah dengan penahanan 11 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini antara 12 hingga 26 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kesemua yang berusia antara 20 hingga 65 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan itu sejak lima hingga enam bulan lepas di sekitar bandar raya ini, Kulai, Pontian dan Muar.

"Polis merampas sejumlah peralatan dipercayai digunakan untuk menyamun dan pecah rumah selain menemukan semula barang hasil samun dan pecah rumah bernilai kira-kira RM95,000 termasuk barangan kemas, beg tangan pelbagai jenama dan jam tangan berjenama," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan berkenaan menyasarkan rumah di kawasan perumahan yang tiada pengawal dan perumahan mewah dengan modus operandi mengumpil pintu gelongsor menggunakan kuku kambing serta pemotong besi untuk masuk ke dalam rumah.

Kumar berkata kumpulan itu kebiasaannya melakukan jenayah terbabit pada waktu malam dan sekiranya penghuni menyedari kehadiran mereka, kumpulan itu akan melakukan samun ke atas mangsa dengan menggunakan apa-apa senjata yang dijumpai di dalam rumah.

Beliau berkata pihaknya percaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 31 kes samun dan pecah rumah sejak awal tahun ini dengan penahanan mereka.

Kesemua yang ditahan, katanya kini direman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 457, Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

"Seorang daripada ahli kumpulan itu juga akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua yang ditahan merupakan ahli kumpulan tersebut manakala ketua kumpulan telah ditahan sebelum ini," katanya sambil menambah lapan daripada 11 individu terbabit didapati positif terhadap dadah.

-- BERNAMA