KUALA LUMPUR: "Saya hanya mampu terkedu apabila menerima perkhabaran daripada kakak sulung yang memberitahu rumah pusaka keluarga kami dihanyutkan arus deras banjir," itulah reaksi Rodiah Mahfuz apabila mendapat tahu rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 50 tahun dihanyutkan pada Sabtu.

Rodiah, 56, yang menetap di Bangsar, pada mulanya tidak percaya rumah pusaka yang terletak di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, di sini dihanyutkan, namun setelah menerima beberapa gambar rumah itu menerusi WhatsApp kiriman kakaknya, barulah dia percaya kejadian itu benar-benar berlaku.

"Sebelum ini memang pernah beberapa kejadian banjir namun tidaklah sampai menghanyutkan rumah pusaka keluarga, yang kini hanya tinggal tangga batu.

"Rumah berkenaan didiami kakak sulung saya (Rohana Mahfuz, 75,) yang memaklumkan paras air mula naik di rumah berkenaan pada kira-kira 12 tengah malam semalam.

"Menyedari kejadian itu, kakak saya terus bergegas keluar dengan menaiki kereta ke rumah saudara berhampiran," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Ahad.

Rodiah juga memaklumkan beberapa dokumen penting peribadi kakaknya seperti kad pengenalan, selain perabot dan barangan lain di rumah itu tidak dapat diselamatkan kerana keadaan banjir yang di luar jangkaan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis ketika dihubungi Bernama berkata setakat ini 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Hulu Langat dan dua PPS ditutup.

Beliau berkata setakat ini, 336 mangsa banjir telah ditempatkan di beberapa PPS sekitar Hulu Langat.

Mengulas mengenai banjir di Hulu Langat, Norazam berkata ketika ini banjir mula surut secara berperingkat.

-- BERNAMA