Pemohon yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria sahaja akan diberi keutamaan untuk menyewa atau memiliki unit perumahan awam di Pulau Pinang, kata exco perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata terdapat pelbagai unit perumahan awam yang disediakan untuk warga Pulau Pinang dalam pelbagai kategori berpendapatan rendah termasuk penyediaan 999 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

"Di Padang Tembak sahaja, 62 pemohon masih belum dapat ditemu bual memandangkan tiada unit kosong untuk mereka dipertimbangkan. Maka latar belakang ini mesti diambil kira dalam pertimbangan keseluruhan kes-kes, di mana secara khususnya untuk beberapa kes penduduk di Padang Tembak ini, pelanjutan masa telah diberi.

"Daripada laporan yang diterima daripada pejabat perumahan, satu mempunyai tunggakan, empat melibatkan isu warga asing, empat lagi sudahpun ada rumah dan dua adalah bujang yang tinggal di premis setelah ahli keluarga meninggal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini,

Jagdeep mengulas berkenaan isu pengusiran tujuh penghuni PPR Padang Tembak yang mendakwa mereka telah diusir oleh unit perumahan terbabit.

Katanya, terdapat banyak pelanggaran syarat-syarat yang diberikan dan sekiranya terdapat pelanggaran tersebut, tindakan admistratif akan diambil untuk mengeluarkan penduduk terbabit.

Bagi menyewa rumah PPR, katanya, pendapatan pemohon tidak melebihi RM1,500 sebulan, warganegara dan tidak mempunyai bayaran tunggakan caj penyelenggaraan sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mewujudkan sebuah jawatankuasa pada 2016 untuk memantau penguatkuasaan syarat menyewa rumah PPR dan setakat ini telah meneliti 384 kes melanggar syarat untuk mendiami rumah PPR.

Menurutntya, daripada jumlah itu, jawatankuasa itu telah membenarkan rayuan 288 penghuni rumah PPR.

Katanya permintaan untuk menyewa rumah PPR di negeri itu adalah tinggi dengan 860 pemohon berada dalam senarai menunggu di Daerah Timur Laut.

-- BERNAMA