KOTA BHARU: Kediaman seorang Hakim Mahkamah Syariah Bachok musnah dalam kebakaran ketika beliau dan keluarganya menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran pada Isnin malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam di Kampung Bunut Payong, rumah separuh kayu dan separuh batu milik Zulkiflee Mohamed, 58, hangus dalam kebakaran menyebabkan kerugian dianggarkan hampir RM300,000.

Menurut Zulkiflee, beliau hanya mengetahui rumahnya terbakar selepas menerima panggilan daripada anak lelakinya yang dimaklumkan oleh jiran mereka yang melihat api marak dari bahagian dapur.

"Saya dan keluarga berada di masjid untuk menunaikan solat tarawih apabila seorang jiran menghubungi anak, lalu anak terus menghubungi saya. Sejurus tiba di lokasi, saya hanya mampu melihat api sudah merebak," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Lebih menyedihkan, kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan kediaman mereka, tetapi turut memusnahkan lebih 500 kitab pengajian Islam yang dikumpul sejak 30 tahun lalu.

"Kitab-kitab ini saya beli dari dalam dan luar negara, termasuk Mesir, sebagai rujukan pengajian serta tugas saya sebagai Hakim Syarie. Kehilangannya amat menyedihkan kerana ada antara kitab itu sukar ditemui lagi," katanya.

Selain kitab pengajian, wang tunai, barang kemas, serta sebuah trak Ford Ranger turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Bagaimanapun, Zulkiflee bersyukur kerana beliau dan keluarganya terselamat walaupun kehilangan harta benda.

"Saya reda dengan ujian ini. Walaupun kehilangan besar, tetapi yang paling penting semua ahli keluarga selamat. Alhamdulillah," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 malam sebelum mengerahkan 21 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, rumah sudah 80 peratus terbakar. Anggota segera melakukan operasi pemadaman bagi mengelakkan api merebak ke rumah berhampiran. Api berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian sebenar akan dinilai selepas siasatan selesai. - Sinar Harian