Kerajaan memperuntukkan RM54.81juta untuk membangunkan infrastruktur di 607 buah kampung baharu tahun depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata peruntukan itu membuktikan kerajaan serius untuk merealisasikan hasrat membangunkan kampung-kampung baharu di seluruh negara.

"Sejak 2008 sehingga Sept 2013, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM365 juta dalam menyediakan kemudahan infrastruktur di kampung berkenaan.

"Selain itu kementerian turut menyalurkan RM98 juta sejak 2011 sehingga kini untuk membantu penduduk kampung baharu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka dan memiliki hartanah di bawah skim pinjaman khas penduduk kampung baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Wee ingin tahu sama ada kementerian mempunyai pelan induk untuk membangunkan semua kampung baharu di seluruh negara serta jumlah peruntukan yang akan disalurkan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) mengenai inisiatif merancakkan kampung baharu terutama di Pulau Pinang yang kebanyakannya didiami warga emas, Abdul Rahman berkata kerajaan sentiasa mencari inisiatif untuk 'menghidupkan' kampung baharu dengan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti ekonomi.

Jelasnya, meskipun Pulau Pinang merupakan negeri pembangkang, kerajaan tidak pernah meminggirkan negeri itu dan memberi peruntukan yang sewajarnya bahkan menyaksikan peningkatan peruntukan pada setiap tahun.

"Untuk makluman, pada tahun 2000, sebanyak RM214,604 diperuntukkan untuk membangunkan kampung baharu di Pulau Pinang. Jumlah ini meningkat kepada RM1.085 juta pada 2011 dan RM1.43 juta pada 2012, dan ini membuktikan kerajaan membantu semua negeri di seluruh negara," katanya.